,
gaya hidup

Ibu Yang Berpantang Sendiri, Ibu HEBAT! “Buat Persiapan Awal dan Cuba ENJOY Je,” – Ini Petua Kak Laila.

Afiza Kamarulzaman
12/01/2021
13:01 MYT
Dalam zaman moden ini, kebanyakan ibu-ibu muda selepas melahirkan anak memillih atau terpaksa berpantang tanpa dibantu oleh sesiapa. Sama ada ibu sendiri, ibu mertua atau bidan. Banyak faktor yang menyebabkan mereka memilih untuk berpantang sendiri seperti faktor jarak lokasi, kengkangan masa, tidak mahu menyusahkan dan keselesaan peribadi.
Ada juga yang sudah kematian ibu atau ibu mentua, maka tiada pilihan lain selain menjalani tempoh berpantang bersama suami sahaja. Sebenarnya, ia bukanlah masalah besar yang harus dirunsingkan jika para ibu bijak mengatur masa, membuat persediaan awal dan bersikap positif dan sentiasa kuatkan hati sepanjang tempoh itu.
Laila Rahim atau mesra dipanggil Kak Laila ialah seorang Pengurus Ibu Berpantang dan Tukang Urut Profesional di Pekan Pahang. Beliau berpengalaman luas menjaga dan memberikan servis berpantang kepada ibu selepas melahirkan anak. Pelbagai situasi ibu berpantang pernah diselia beliau.
“Memang ada ibu yang tidak kuat berdepan masalah meroyan kerana tidak menjaga kesihatan dengan betul. Begitu juga tekanan mental kepada ibu yang seperti tidak disokong suami atau tidak biasa menguruskan anak kecil yang mengubah rutin harian ibu. Ada ibu yang terlalu penat sehingga bentan dan sebagainya,” Kongsi Kak Laila.
Kredit Foto: Laila Rahim
Tips dan Nasihat Berpantang Sendiri
Menurut Kak Laila, berpantang tidak semestinya kena ditemani orang seperti ibu dan sebagainya jika ibu benar-benar sudah bersedia fizikal dan mental. Ada juga ibu yang mengalami depresi ketika berpantang walaupun ditemani ibu sendiri kerana berjauhan dengan suami dan anak-anak.
“Ada juga ibu yang mengadu sangat tertekan berpantang dengan mak mentua kerana tidak selesa dan terpaksa mengikut peraturan ketat di rumah ibu mentua. Suami pula jenis tidak ambil tahu, maka makan hatilah si ibu sepanjang 44 hari itu. Akhirnya ibu mengalami kemurungan dan bayinya terabai,” Ujar Kak Laila.
Tempoh berpantang sepatutnya menjadi pengalaman terindah buat ibu selepas berjuang melahirkan anaknya. Jadi, jangan ambil mudah perasaan dan permintaan isteri. Tanyakan kepada isteri, di manakah dia selesa untuk berpantang? Jika dia mahu berpantang sendiri, suami harus hormati dan bantu apa yang patut. Jika ada duit lebih, upahlah bidan untuk membantu menjaganya.
Kredit Foto: Laila Rahim
Jika Mahu Berpantang Sendiri, Pastikan...
  • Ketika fasa kehamilan lagi, ibu harus menjaga pamakanan supaya ibu dan bayi cukup nutrien dan mengelak sebarang mudarat selepas melahirkan. Jaga kesihatan diri dan kandungan, amalkan makanan sunnah supaya ibu sihat dan elak bayi terkena sakit kuning atau jaundice dengan izin Allah.
  • Banyakkan zikir Ya Rahman, Ya Rahim supaya bayi dalam kandungan kuat dan mudah bersalin nanti. Inshaa-Allah.
  • Buat persiapan awal dengan membeli semua kelengkapan ibu dan bayi supaya tidak perlu keluar rumah dan mengharapkan suami yang mungkin tidak pandai membeli. Bahan-bahan memasak makanan ibu juga harus dipenuhkan stok di dalam peti.
  • Gali banyak ilmu menerusi internet atau mereka yang berpengalaman. Jangan malu bertanya.
  • Bincang dengan suami baik-baik. Kebanyakan lelaki memang ‘zero knowledge’ tentang ilmu berpantang. Menjadi tugas ibu untuk memahamkan suami. Mohon kerjasama suami seperti melakukan kerja rumah yang berat.
  • Jika tidak, upahlah pembantu rumah atau bidan yang boleh menemani untuk beberapa hari yang kritikal.
  • Kena bersedia fizikal dan mental ya. Janji pada diri untuk sentiasa kuat, positif dan sabar dalam menghadapi 44 hari itu walau apa pun ujian yang datang. Kena selalu ingat janji itu.
  • Ketika dalam pantang ibu digalakan bangun awal pagi supaya boleh siapkan diri dulu, sarapan, pam susu dan lain-lain. Ini supaya apabila mak bidan datang ibu sudah bersedia untuk dimanjakan. Disiplin diri itu penting.
  • Ibu kena bijak atur jadual sebaiknya supaya tidak kelam-kabut dan stres untuk menghadapi fasa berpantang.
  • Ibu tidak digalakan hanya baring dan tidur sahaja kerana akan menyebabkan darah beku dan muka menjadi sembap. Berpantang bukan bererti duduk dan baring saja. Boleh saja melakukan kerja-kerja ringan dan berjalan sekitar rumah untuk lancarkan peredaran darah. Baru muka berseri kembali!
  • Walaupun kita dalam era moden, ada pesanan dan petua orang-orang tua yang perlu diikut dan tidak dipandang remeh. Namun, ikut yang mana mampu jangan sampai memaksa.
  • Ibu kena kawal emosi sebaik mungkin supaya ibu dapat berpantang dengan gembira untuk elak depresi, angin meroyan, bentan dan penyakit lainnya. Banyak cara menguruskan emosi seperti membaca bahan-bahan bermanfaat, berjenaka sama anak-anak dan suami atau hubungi kawan-kawan rapat untuk berbual.
Kredit Foto: Laila Rahim
Amalan Berpantang Tradisi Saranan Kak Laila
  1. Mandi serum dengan daun herba
  • Untuk memulihkan urat saraf dan mengembalikan kesegaran ibu
  1. Berurut
  • Untuk melancarkan peredaran darah dan dengan urutan yang betul boleh membantu melancarkan susu ibu
  1. Bertungku
  • Dipercayai membantu buang angin dalam badan dan melancarkan darah haid dan nifas jika bertungku dengan betul. Rasa suam batu tungku itu melegakan ibu
  1. Berbarut
  • Banyak jenis barut di pasaran tapi sebaiknya guna barut lilit jawa atau bertali panjang. Barut jenis ini lebih kemas. Jika berbarut dengan konsisten boleh membantu mengempiskan perut yang buncit dan menggeleber akibat regangan ketika mengandung. Lapan jam sehari sudah memadai.
  1. Param pilis dan tapel
  • Param disapu di seluruh badan untuk mengembalikan kesegaran badan dan elak masuk angin. Tapel disapu di perut sebelum berbarut untuk mengelakkan perut buncit dan mengeleber. Mak-mak kita dulu hanya menggunakan limau dan kapur sebagai bahannya. Sekarang ada jual krim segera di pasaran
  1. Pilis
  • Disapu di dahi untuk mengelakkan rasa pening dan gelap mata
  1. Sauna~
  • Membuang toksin dalam badan dan meringankan, juga melegakan stres
  1. Tangas
  • Melancarkan darah haid atau nifas yang berbaki dan menyegarkan bahagian intim. Ada dua jenis bertangas iaitu kering dan basah. Kering; mengunakan herbal terpilih melalui asap, manakala basah menggunakan herbal terpilih dan melalui wap.
Kredit Foto: Laila Rahim
Tentang Kak Laila Laila Rahim sudah berkecipung dalam bidang berkaitan sejak 10 tahun lalu. Mewarisi bakat mengurut daripada Datuk dan Neneknya, namun beliau menambah ilmu dan pengetahun dengan belajar. Antara kelas dan akademi yang pernah dihadirinya ialah di ECER (kerjasama UMP Pahang, KEMAS, Fecra Training, MARA, Mama Care Pahang dan kelas-kelas personal lainnya. Laila kini menjadi tenaga pengajar sambilan di bawah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Pahang, selain mencurah ilmu bersama KEMAS, Pekan dan menjadi fasilatator untuk institusi Mama Care Pahang. Pencapaian tertingginya dalam bidang ini ialah SKM 3 Urutan Terapi dan SKM 3 SPA Terapi.
Kredit Foto: Laila Rahim
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Hiburan

Yana Samsudin Selamat Bersalin, Terharu Suami Buat Kejutan - “Dia Nak Saya Berehat, Tak Terfikir Akan Berpantang Di…”

gempak
12/01/2024
03:00 MYT
Bestnya suami bagi kejutan macam ni lepas bersalin.
Viral

Rupanya Macam Ni Petua Nak Hilangkan Bau Badan…

gempak
29/12/2023
07:55 MYT
Wow! Boleh cuba ni
Laman Utama

Noya Tidur Berdengkur? Cuba Bancuh & Minum Air Dengan Dua Bahan Ini!

gempak
06/10/2023
13:55 MYT
Siapa selalu tidur berdengkur?
Laman Utama

Pekin Ibrahim Terima Petua Pelik Untuk Dapatkan Zuriat - “Bila Bersama Kena Buka…”

gempak
07/09/2023
00:52 MYT
Macam-macam petua la ya...
Laman Utama

Rawat Migrain & Sakit Leher Salah Bantal Guna Ais! Ini Cara-Caranya

gempak
05/09/2023
07:55 MYT
Migrain pun boleh dirawat dengan ais.