gaya hidup
Daripada JURUTERBANG Oman Air, Kini Penjual Burger – Naeem dan Isteri Yakin Dengan Rezeki Yang Tertulis.
Mohammed Naeem bin Md Nassir, 30 bersama isteri, Intan Shazia Leong, 25 kini berbangga dengan sambutan luar biasa pelanggan terhadap perniagaan burgernya kini. Biar pun baru bertapak dalam perniagaan ini, namun keenakan dan kelainan yang terdapat pada pembuatan Smashed Burger menjadi sebutan ramai.
Siapa sangka, pemuda ini dulunya seorang juruterbang di Oman Air. Sebelum itu, Naeem pernah bersama Malaysia Airlines sebagai cadet pilot pada tahun 2014. Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai second officer, dan seterusnya first officer. Pada tahun 2018, Naeem ditawarkan jawatan senior first officer oleh Oman Air.
Diberhentikan Ketika Pandemik
Ketika menerima email memaklumkan bahawa perkhidmatannya ditamatkan oleh syarikat, beliau ketika itu berada di Malaysia menghabiskan cuti tahunannya. Ketika itu bulan Mac di mana pandemik bermula dan PKP diumumkan kerajaan. Naeem tidak menyangka, kepulangannya kali ini adalah kepulangan yang tidak memerlukannya kembali ke sana lagi.
“Saya agak risau pada mulanya. Ya lah, semuanya berlaku secara tiba-tiba tanpa apa-apa back up plan. Dalam pada masa yang sama, saya terus berfikir bagaimana untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan sukar ini? I thought that having my own business would be a good option especially since nobody is hiring right now,” Ujarnya.
Namun, Naeem akui waktu itu dia tidak punya idea langsung tentang perniagaan apa yang ingin dibukanya. “Kebetulan, saya dan isteri mulai craving dengan burger yang selalu kami makan ketika di Oman dulu. Jadi, saya terfikir untuk membuatnya sendiri. Tidak sangka pula rasanya sedap. Maka, saya dan isteri putuskan untuk cuba menjualnya,” Cerita Naeem di awal inspirasi tercetus.
Isteri Menjadi Tulang Belakang
Lazimnya, kejayaan seorang lelaki, didukung oleh sokongan seorang wanita. “My wife is the backbone of my business. Dialah yang sentiasa menyokong usaha saya dari awal tercetusnya idea ini. Isteri tidak hanya menyokong daripada kata-kata semangat, malah turut turun padang bekerja bersama saya,” Tambah Naeem mengenai sokongan isterinya itu.
Naeem juga memberitahu bahawa bisnesnya bermula menerusi kawa baiknya yang memperkenalkannya kepada pengasas Burger Bros TTDI, Abdul Arieff. “Beliau banyak membantu saya dalam memandu saya tentang bagaimana memulakan perniagaan dan di mana untuk mendapatkan stok bahan mentah yang berkualiti.”
“Alhamdulillah, bermodalkan tidak lebih RM7,000 saya dapat membina gerai ini dan membeli semua kelengkapan dan bahan yang diperlukan. We honestly did not have any marketing strategy as we have no experience in handling a business. Namun, isteri saya bertindak mempromosikannya secara tak langsung di Instagram.”
Daripada pengiklan sebegitulah, penduduk di sekitar Bukit Jelutong mulai sedar kewujudan perniagaa burger Naeem itu dan ia turut dipromosikan dari mulut ke mulut. Sehingga kini, saban hari gerai burgernya sentiasa menjadi tumpuan ramai yang mahu merasai kelazatan burgernya itu.
Terus Berusaha, Jangan Buang Masa
Nasihat Naeem kepada mereka yang mengalami nasib yang sama dengannya, “Jangan buang masa dan cubalah menjadi lebih produktif. Cuba cari idea baru mengikut apa yang kamu minati dan lakukan sehabis baik. Jangan sesekali mengalah dan keep on fighting. Sebagai Muslim, saya percaya pada ganjaran Istiqomah.” Tuturnya.
Ditanya apakah impiannya pada masa hadapan? Ujar Naeem, kalau ada rezeki, dia mahu melihat jenama Smashed membuka cawangan lainnya di seluruh Malaysia. Naeem mahu berkongsi keenakan dan ketinggian kualiti burgernya kepada lebih ramai orang di luar sana. Semoga Naeem terus sukses dan mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Must-Watch Video