,
Read

Ajarkan Mereka Agama” — DATIN SRI NONISWARA Kongsi Rahsia Terbaik Bentuk Anak Soleh & Solehah

Public Anonymous User
30/07/2018
06:53 MYT

Oleh: Huda Hussain

Edisi ini InTrend raikan kasih sayang dan jalinan mesra selebriti cantik manis, Datin Sri Noniswara baharudin bersama anak sulungnya, Naveer Mihshon Zakaria.
Tutur sopan penuh dengan kelembutan, Naluri keibuannya sebati dalam sanubari. Biar apa jua gelombang yang terpaksa ditempuhi, namun kasih sayangnya kekal utuh bersemi demi anak-anak yang disayangi.
Masih aktif memenuhi tawaran berlakon yang menghiasi kaca televisyen, kekangan waktu bersama keluarga bukan alasan untuk dia mengenepikan tanggungjawab ibu yang sedia dan setia berkhidmat sepanjang hayat.
Terbukti asuhan serta didikan yang diberi selama ini sekurang- kurangnya mampu membuatkan datin sri noniswara tersenyum.
Melihat anak-anak yang semakin meningkat dewasa, bijak berkongsi pendapat dan manis berkata-kata serta berjaya dalam lapangan yang diceburi cukup menenangkan hati.
Kejayaan anak-anak disifatkan sebagai anugerah bermakna dan Dia tidak Mahu mereka terus mendabik dada. Dan kerisauannya tidak pernah surut dan takkan pernah padam.
Malah sering berdoa agar kesejahteraan hidup ketiga-Tiga permata hatinya sentiasa dipelihara dan berada dalam rahmat serta perlindungan-Nya.
Datin Sri Noniswara dan Shon rungkai kisah suka-duka meniti pengalaman berharga, membina kehidupan sebelum hidup selesa dan mampu menarik nafas lega seperti hari ini. Ikuti temu bual eksklusif ini.
DATIN SRI NONISWARA:
Selain sibuk dengan sesi penggambaran dan menjaga keluarga, apa lagi yang menjadi kesibukan Datin Sri sekarang?
Alhamdulillah, masih dikurniakan rezeki dan kesihatan untuk menjaga keluarga. Selain sibuk dengan sesi penggambaran, saya juga menguruskan perniagaan kecil-kecilan.
Kongsikan serba-sedikit latar belakang keluarga dan anak-anak Datin Sri?
Saya mempunyai tiga orang anak, yang sulung Naveer Mihshon Zakaria kini berumur 24 tahun, kedua Nur Erysha Emyra Zakaria (19 tahun) dan anak bongsu Nazeer Danish (11 tahun).
Cabaran atau perbezaan membesarkan anak lelaki dan perempuan, pada padangan Datin Sri?
Pada saya cabaran itu berperingkat. Anak perempuan lebih manja dan lembut walaupun ada kalanya dia sedikit degil. Berbeza dengan anak lelaki, ada masanya dia keras kepala, ada pendirian sendiri tetapi akhirnya dia lembut juga.
Kalau daripada segi menjaga, ketika kecil dahulu anak lelaki, biasalah lebih nakal. Apatah lagi apabila melangkah ke alam remaja, mula bercampur gaul dengan rakan sebaya. Di situlah mulanya cabaran untuk membentuk mereka. Tetapi tidaklah terlalu sukar.
Sudah lumrah bukan, anak lelaki lebih suka berkawan dan seperti Shon dia juga sama seperti anak-anak remaja lelaki yang lain ketika usia remaja. Misalnya bawa balik kawan ke rumah tetapi tidaklah sehingga terjebak dalam masalah sosial lain.
Dalam soal mendidik anak-anak, apa yang sering dititikberatkan?
Saya percaya semua ibu bapa mempunyai pendekatan tertentu dalam perihal ini. Walau secanggih manapun peredaran zaman, saya masih berpegang dan percaya dengan kepentingan untuk menerapkan didikan agama dalam sanubari anak-anak.
Agama tetap nombor satu dan menjadi keutamaan dalam keluarga kami. Misalnya setiap hari, saya sering bertanyakan kepada anak-anak, “Dah solat ke belum?” Dan sering mengingatkan mereka kepentingan untuk sembahyang.
Bukannya, “Dah baca buku ke belum?”, tetapi solat. Dan jika tiba bulan puasa pula, saya sering ingatkan anak-anak agar melakukan solat sunat tarawih, mengaji dan lain-lain.
Melihat situasi sekarang, sukar untuk kita temui lelaki yang benar-benar bertanggungjawab, punya sifat kepimpinan dan pelbagai lagi sifat lelaki sejati. Apakah pendekatan Datin Sri untuk membentuk anak seperti Shon agar bisa memiliki kualiti lelaki sejati?
Agama adalah asas dan tunjang segalanya. Saya selalu berkata kepada anak- anak, apabila kita punya asas agama, walau nakal macam mana sekalipun kita akan tetap kembali ke pangkal jalan yakni kembali semula kepada ajaran agama.
Dan secara tidak langsung ia akan menjadi benteng ampuh, batas yang kukuh untuk mengekang kita daripada melakukan apa jua kejahatan atau niat nakal untuk melakukan perkara yang tidak elok.
Alhamdulillah, bekas suami juga seorang yang patuh kepada agama. Walaupun dia bukanlah berserban, tetapi sering ke masjid, mengaji dan tidak pernah tinggal solat. Dan saya percaya atas asuhan itulah yang membentuk anak-anak saya seperti hari ini.
Kembali kepada agama dan saya yakin serta percaya jika ia menjadi pegangan, insya-Allah akan terpeliharalah semuanya. Malah menjadi pemangkin untuk tampil dengan ciri-ciri lelaki yang disebutkan tadi.
Faktor pengalaman, pergaulan sekeliling juga memainkan peranan dan mempengaruhi untuk membentuk keperibadian seseorang.
Sejauh mana Datin Sri bersikap tegas dalam mendidik anak-anak?
Saya bukanlah ibu yang garang kerana kadangkala saya berasakan dalam hidup kita tiada yang sempurna. Tidak perlulah meremehkan perkara yang tidak sepatutnya. Saya juga bukan seorang ibu yang cerewet, meleteri anak-anak dan sebagainya.
Saya mendidik mereka sesuai dengan kematangan fikiran dan penerimaan mereka. Kalau perkara kecil misalnya jika mereka melakukan kesilapan, saya menegur dengan cara yang baik dan mengingatkan agar mereka tidak mengulanginya lagi.
Itu sahaja. Tidak perlu bermasam muka atau meninggikan suara sehingga naik tangan dan sebagainya. Alhamdulillah, syukur kerana Allah kurniakan saya anak-anak yang patuh dan mendengar kata. Arwah ibu saya misalnya, bukanlah seorang ibu yang suka berleter. Mungkin itulah yang saya ikuti daripadanya.

Dunia sosial media hari ini memberi kebebasan untuk orang lain ‘mengintai’ kehidupan kita dengan lebih dekat. Sebagai ibu, tidak risaukah Datin Sri andai pergerakan dan apa jua perlakuan anak diperhatikan lantas menjadi bualan orang?
Siapa yang tidak risau? Lebih-lebih lagi saya punya anak perempuan. Ada juga masanya rakan-rakan saya menghubungi dan memaklumkan saya, “Eh you tak risau ke Erysha pergi situ?” misalnya. Tetapi saya tahu anak-anak saya.
Ke mana mereka pergi, apa yang dilakukan, dengan siapa mereka berjumpa saya ambil tahu. Maklum sahajalah anak-anak ini, ada fiil nakal masing-masing.
Sementelahan masih muda remaja, saya faham anak-anak pada peringkat usia ini mereka teruja mahu cuba pelbagai perkara lebih-lebih lagi apa jua yang baru.
Erysha misalnya sering muat naik instastory mengenai aktiviti yang dilakukannya. Tetapi jika saya terlihat ada yang kurang rasional, saya tegur dengan cara yang baik.
Pernah suatu ketika saya mengadu dengan Daddy mereka, Erysha merajuk sampaikan tidak mahu bercakap dengan saya (ketawa).
Bagaimana pula dengan laman media sosial Datin Sri sendiri? Sejauh mana akrabnya media sosial dan adakah Datin Sri lebih selektif untuk muat naik sesuatu?
Saya gemar berkongsi aktiviti atau apa jua yang dilakukan. Tetapi saya lebih berhati-hati, teliti dan tidaklah sewenang-wenangnya muat naik semua perkara. Tidak perlu untuk berkongsi atau tunjukkan apa jua yang anda ada.
Bukanlah mahu hipokrit tetapi masih ada batas dan garis sempadan yang perlu diambil kira. Kerana ia terpulang kepada sejauh mana kita mengawalnya.
Adakah kita mahu paparkan kepada semua apa yang dilakukan, ke mana kita pergi, apa yang dibeli misalnya sepanjang masa? Pasti tidak bukan? Maka selagi boleh kita kawal, jagalah ia.
Pendekatan Datin Sri jika berhadapan dengan masalah anak-anak?
Saya tidak mempunyai peraturan atau menetapkan garis panduan itu dan ini. Apa jua permasalahan yang timbul kami akan duduk berbincang. Biarlah Daddy dia sahaja yang menetapkan peraturan atau mempunyai kaedah tertentu misalnya.
Saya lebih fleksibel dan terbuka. Malah pada saya, tidak perlu merumitkan sesuatu isu yang hanya akan memeningkan kepala. Selagi ia boleh ditangani dengan cara yang mudah, maka lakukan sahaja.
Tetapi selebihnya saya akan memantau pergerakan mereka, di mana mereka pergi, jam berapa mereka pulang dan sebagainya. Tetapi tidaklah sehingga saya akan periksa satu persatu.
Contoh mudah, perihal solat misalnya; saya akan sentiasa ingatkan mereka agar solat walaupun semuanya sudah meningkat remaja dan dewasa. “Sayang, sudah Maghrib ni, dah solat ke belum? Sayang jangan lupa solat.”
Namun tidaklah pula saya akan lakukan spot check atau intip mereka di bilik umpamanya. Sama ada mereka akan lakukannya atau tidak, itu terpulang. Kerana mereka sudah cukup matang. Boleh menilai baik buruk, dosa pahala dan sebagainya.
Jika punya waktu terluang bersama anak-anak, selalunya apa yang kalian lakukan?
Bergantung kepada keadaan. Kadangkala saya sibuk dengan sesi penggambaran sehinggakan mereka bertanya, “Bila Mummy nak masak nasi kerabu, nasi dagang?” Dan saya bersyukur mereka suka air tangan saya. Sudah pasti jika tidak terikat dengan jadual penggambaran atau apa jua aktiviti, saya akan masak untuk mereka.
Bagaimana pula dengan hala tuju dan masa hadapan Shon, adakah Datin Sri selesa memberi ruang untuk Shon mencorak sendiri atau menetapkan bidang tertentu yang perlu diikuti?
Saya tidak pernah menghalang apa jua bidang yang ingin diceburinya. Saya selalu mengingatkannya agar jauhkan diri daripada dadah, jauhi daripada berkawan dengan mereka yang jahat. Mengapa saya sering menasihati Shon dan anak-anak yang lain agar tidak menyentuh dadah kerana ia adalah tunggak utama yang akan merosakkan segalanya.
Itulah punca yang memudaratkan diri, keluarga dan seluruhnya. Selebihnya, rezeki di tangan Allah. Apa yang penting adalah dia perlu rajin berusaha untuk mencapai apa yang diingini.
Saya tidak kisah jika dia mahu jadi seorang mekanik ke, tukang masak ke; selagi ia halal itu tidak mendatangkan masalah. Shon kini sudah meningkat dewasa, pernahkah Datin Sri terfikir untuk meletakkan ciri-ciri yang perlu ada dalam kriteria calon isteri Shon kelak?
Kadang- kadang saya berikan contoh gambaran ciri-ciri itu dan ini. Tetapi ia hanyalah garis panduan sahaja. Kalau dia tidak mahu ikut, tidak mengapa. Apa yang dia rasa selesa, terpulang kerana saya bukanlah seorang ibu yang suka mendesak atau memaksa anak-anak untuk menurut segala arahan.
Beri ruang kepadanya untuk membuat pilihan. Selebihnya saya akan memberi nasihat dan tunjuk ajar.

NAVEER MIHSHON ZAKARIA :
Bagaimana Shon tangani emosi ketika Mummy dan Daddy berpisah ketika Shon masih kecil lagi, jika tidak keberatan boleh kongsikan?
Ketika itu saya berusia 12 tahun. Kalau nak dikatakan bagaimana saya tangani, secara jujurnya saya lalui dengan cara yang kurang elok. Berkawan, mula nakal, keluar malam tetapi tidaklah sehingga tidak balik rumah.
Namun saya sedari semua perkara itu tidak sihat. Dari situ saya belajar erti tanggungjawab dan berdikari.
Daripada segi perangai pula, Shon lebih banyak mengikuti jejak langkah siapa?
Boleh dikatakan hampir keseluruhan saya mengikut Daddy. Daripada tingkah-laku, cara bercakap, nada suara, rupa paras dan sebagainya semua mirip Daddy. Misalnya kalau ada orang yang menelefon Daddy dan saya yang menjawab panggilan telefon, si pemanggil boleh percaya suara saya sama seperti Daddy.
Begitu juga jika kami berjalan bersama, dari pandangan belakang orang boleh menyapa saya lalu berkata, “Dato!” Saya tidak pasti bagaimana orang boleh tersalah pandang sedemikian tetapi yalah, sudah namanya pun anak bukan? Ke mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?
Selain daripada itu saya juga banyak bergaul dan mengikut jejak langkah Daddy. Dia banyak mengajar saya mengenai perniagaan, bercampur gaul dengan ramai orang dan banyak lagi.

Bagaimana Shon melihat kepentingan didikan agama menjadi bekal berguna yang tersemat dalam diri Shon hingga hari ini?
Saya melihat Daddy sebagai contoh terbaik untuk saya ikuti dalam semua aspek. Malah menjadi kebiasaan bagi Daddy untuk mengaji setiap pagi. Dia tidak pernah ketinggalan solat berjemaah di masjid walau sesibuk manapun dia dan walau ke mana jua dia pergi.
Subuh di masjid dan jika sempat, waktu Maghrib pun dia akan berjemaah di masjid. Saya juga diajar agar tidak menyentuh mana-mana perempuan. Waima ibu atau adik perempuan sekalipun.
Kerana Daddy juga tidak pernah menyentuh anak-anak perempuannya. Daddy sering mengingatkan saya, “Kalau kau sentuh anak perempuan orang, fikirkan kesan dan apa yang akan dirasai oleh mak dan adik-adik perempuan kau.” Peringatannya cukup meninggalkan kesan dan saya akan ingat sepanjang masa.
Pernah berasa terbeban memandangkan Shon anak sulung, punya adik-adik lelaki dan perempuan; maka mahu atau tidak perlu tunjukkan contoh yang baik agar menjadi ikutan adik-adik, komen?
Saya tidak pernah melihatnya sebagai beban kerana sudah diajar oleh Daddy untuk menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab. Kerana Daddy juga adalah seorang ayah yang sangat bertanggungjawab.
Dari kecil Mummy dan Daddy sudah mengajar saya untuk menjaga adik-adik misalnya menghantar dan mengambil adik-adik ke sekolah. Tidak kiralah walau apa cara sekalipun, contohnya jika pemandu tidak berkesempatan mengambil mereka pulang dari sekolah, saya akan melakukannya.
Daripada detik mendapat lesen memandu hinggalah kini. Saya masih melakukannya. Malah jika Mummy atau Daddy meminta pertolongan ketika saya bekerja, saya dengan lapang dada akan membantu.
Lantaran itulah saya lebih senang bekerja sendiri kerana punya kebebasan untuk mengurus waktu dan jadual harian sendiri. Jika terikat dengan waktu kerja tertentu misalnya bekerja di pejabat, ia akan membataskan pergerakan dan sedikit- sebanyak menyukarkan saya dalam hal-hal tertentu.
Antara Mummy dan Daddy, siapa lebih tegas?
Sudah tentu Daddy seorang yang tegas dalam apa jua segi. Jika putih katanya, maka putihlah. Jika hitam keputusannya, maka hitamlah.
Dan bila pula masanya Mummy garang?
Tak pernah! Mummy bukanlah seorang ibu yang garang. Dia lebih sporting, relaks dan lembut hati dalam semua segi. Tetapi itu tidak bermakna saya boleh memanipulasi kelebihan yang ada pada Mummy atau menyalahgunakan kepercayaan yang diberi.
Kami kongsi semua perkara bersama. Ada masanya dia memainkan peranan sebagai ibu, ada kalanya dia umpama kakak kepada saya, sebagai rakan dan lain- lain lagi. Dialah bidadari kami.
Jika terdapat perselisihan faham antara Shon dengan Mummy, bagaimana kalian mencari jalan penyudah?
Kami lebih selesa mengemukakan pendapat masing-masing. Jika saya tidak berpuas hati mengenai sesuatu perkara, saya akan duduk berbincang dengan Mummy. Begitu juga dengan Mummy.
Daripada segi cita rasa, siapa yang lebih banyak mempengaruhi Shon misalnya dalam aspek fesyen, gaya hidup dan lain-lain?
Kalau ikut daripada segi pengaruh, saya lebih banyak ikut jejak Daddy. Cara dia berpakaian, pilihan pakaian yang sesuai.
Meminati bidang lakonan atau mahu mengikut jejak langkah Mummy sebagai pelakon mungkin?
Minat itu ada tetapi tidaklah sehingga mahu menjadikannya sebagai sumber periuk nasi. Jika nasib anda baik, tuah menyebelahi anda, teruskan. Tetapi ia bukanlah untuk selama-lamanya.
Saya maklum mengenai kesukaran dan cabaran yang perlu dilalui sebagai pelakon hari ini. Bukan mudah untuk berjaya dalam lakonan, dikenali dan diselimuti populariti, duduk dalam dunia glamor dan sebagainya. Semua itu menuntut kesungguhan dan usaha yang tinggi.
Sejauh mana keterbukaan Shon dalam berkongsi aktiviti di laman sosial?
Saya pernah mempunyai akaun Instagram dahulu tetapi selepas beberapa lama saya memilih untuk menutupnya. Dan koleksi foto yang saya kongsikan ketika itu hanyalah gambar ahli keluarga dan rakan-rakan sahaja.
Tetapi secara tidak langsung saya terfikir, atas tujuan apa saya mahu kongsi dan muat naik setiap satu post itu? Saya mengambil contoh selebriti Hollywood, Tom Cruise. Dia tidak memerlukan Instagram untuk meraih sokongan peminat.
Jika ada yang meminati lakonannya, sokong lakonannya dan bukan daripada sekadar melihat koleksi fotonya. Mungkin itu interpretasi saya terhadap soal ini.
Saya tidak gemar dengan dunia media sosial. Saya tidak suka orang ambil tahu tentang hidup saya kerana saya lebih sukakan privasi.
Ada sesetengah ibu bapa yang mendidik anak- anak agar lebih berdikari, misalnya jika mahukan sesuatu anda perlu berusaha untuk mendapatkannya. Bagaimana pula dengan pendirian Mummy dalam soal ini?
Oh, itu cara Daddy membentuk saya. Dialah bapa yang tidak akan semudah-mudahnya memberi duit. Dia tidak mewahkan kami adik-beradik. Daripada aspek keperluan, ya dia akan beri.
Tetapi jika itu satu kehendak, dia menyuruh kami mencari duit dan berusaha sendiri. Dan memandangkan treatment Daddy sebegitu, ‘pau’ Mummy lah! (ketawa).
Sepanjang usia ini, apa nilai-nilai murni yang Shon pelajari daripada asuhan Mummy dan dijadikan pegangan dalam hidup?
Jika mahu disenaraikan terlalu panjang dan tidak akan pernah habis. Tetapi apa yang tersemat dalam fikiran saya adalah, Mummy sering berpesan agar menjaga nama baik orang tua dan jangan biarkan orang berkata buruk mengenai ibu bapa kita.
Anda boleh memperlekehkan, mentertawakan saya tetapi jangan sekali-kali memperlekehkan ibu bapa saya.
Melihat kepada situasi sekarang, generasi era millennial kini banyak terjerumus dalam pelbagai masalah. Sekali gus seolah-olah mencerminkan generasi hari ini sudah hilang nilai kemanusiaan, kasih sayang, keprihatinan dan sebagainya. Bagaimana Shon melihat senario ini daripada kaca mata seorang anak?
Kita datang daripada siapa? Kita datang daripada Allah dan Allah meletakkan kita dalam rahim seorang ibu. Siapa yang membesarkan kita? Dan siapa yang mendidik kita sehingga kita mampu berdiri seperti hari ini?
Kalau kita tidak makan, mungkin ya kita tidak boleh hidup. Tetapi selain daripada kuasa Allah, hanya berkat doa ibu bapa kita yang melestarikan perjalanan hidup kita.
Tidak kiralah sama ada latar belakang keluarga yang bagaimana, tetapi ingatlah ibu bapa yang mendidik dan membesarkan kita.
Bayangkan andai suatu hari nanti ditakdirkan Allah, Mummy dijemput pergi. Apa yang akan dirindui mengenai Mummy?
Tidak dapat diungkap dengan kata- kata. Tidak akan pernah habis senarainya. Tiada satu perkara pun yang akan membuatkan saya lupa mengenai Mummy.
Semuanya akan dirindui dan diingati lantas tersemat rapi dalam lubuk sanubari.
Kualiti yang ada pada Mummy, lantas membuatkan Shon terinspirasi dengan kesungguhannya meneruskan hidup hingga hari ini?
Sudah semestinya saya bangga Mummy seorang selebriti dan dikenali. Walau sesusah mana pun hidupnya, dari muda hingga hari ini; Mummy tidak pernah berhenti bekerja.
Tidak kiralah apa jua jenis perniagaan sekalipun, dari salun, berlakon dan macam-macam cabang perniagaan.
Mummy tidak pernah berhenti mencuba dan putus asa. Dia seorang yang bekerja keras sejak dulu hingga hari ini. Itu antara kualiti yang membuatkan saya mengagumi Mummy.

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Unitar