Gegar Vaganza 6
Penyanyi Selembut Sutera, Nurfatima Tak Merajuk! Pulang Ke Malaysia Demi GV6
Penyanyi yang popular dengan lagu Selembut Sutera, Nurfatima menafikan tindakan membawa diri untuk menetap di Australia sejak 10 tahun lalu kerana merajuk.
Jelas Nurfatima, 37, pilihannya untuk menetap di Canberra, Australia kerana rezeki.
"Saya tak pernah terfikir untuk menetap di Australia pun, pada mulanya saya ke sana untuk menyambung pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Audio di Institute SEA pada 2009.
"Namun, kemudiannya saya bertemu dengan suami saya sekarang dan memutuskan untuk berkahwin dan tinggal di sana.
"Tiada istilah merajuk pun... Cuma sekadar mahu ubah angin dan mencuba sesuatu yang baharu.
"Sepanjang tinggal di sana saya tidak meneruskan kerjaya sebagai penyanyi sebaliknya hanya mencuri masa menyanyi di kafe untuk lepas rindu.
"Selebihnya masa saya dihabiskan untuk bekerja sebagai guru sambilan prasekolah," katanya kepada Gempak.
Dipelawa untuk menyertai pertandingan realiti hiburan nyanyian Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Nurfatima menjelaskan perkara tersebut tidak mendapat bantahan suami.
"Dia sebenarnya sangat menyokong dan mendorong saya untuk menyertai GV6.
"Memang berat juga nak tinggalkan suami di sana namun kalau tiada aral dia akan menyusul saya di Malaysia pada minggu kedua pertandingan nanti.
"Tetapi dia tak boleh lama kerana perlu kembali bertugas di sana," tambahnya.
Nurfatima atau nama sebenarnya Nur Fatimah Abd Wahab telah mendirikan rumah tangga bersama Mohammad Jeffry Wain Wright, 50 pada 2013.
Selain Nurfatima, GV6 membariskan 12 peserta lain antaranya Wann, Mazleela, Noorshila Amin, Feeza, Sham Visa, Roy, Jatt, Ameer Sofazr, Naqiu Boboy dan Hady Mirza.
Malah, GV6 turut disertai kumpulan duo Kool dan One Nation Emcees.
GV6 akan bersiaran selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor bermula 13 Oktober 2019.
Must-Watch Video