,
Tempatan

Naza Premira lancar tiga Vespa baharu - Primavera S 150, Sprint S 150 dan S125 Carbon Edition

Erywan
08/08/2019
07:44 MYT
Naza Premira Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia memperkenalkan tiga skuter sporty dan bergaya menerusi model Primavera S 150, Sprint S 150 serta S125 Carbon Edition.
Kehadiran barisan Vespa sporty baru itu meningkatkan estetikanya dan sangat sesuai untuk penunggang yang aktif serta bergaya.
Vespa Primavera S 150
Model itu mewarisi watak klasik 'joie de vivre' (kegembiraan hidup) dengan menambah kesegaran, keberanian, gaya dan keseronokan.
Ia hadir dengan ciri baharu menerusi pelindung sisi, rim dan penutup hon warna kelabu.
Pada masa sama, ia dilengkapi dengan rim aloi aluminium 12 inci lima bilah berbentuk ‘U’ yang memberi kestabilan, keselamatan dan cengkaman terbaik pada semua permukaan jalan raya.
Primavera S 150 juga direka untuk menyediakan perjalanan yang lancar, tenang dan selesa, selain memastikan penggunaan bahan api yang optimum.
Skuter berkenaan dikuasakan enjin 150cc i-Get satu silinder empat lejang moden yang mesra alam. Skuter "badan kecil" itu menyalurkan kuasa dan tork pada tahap baharu.
Vespa Primavera S 150 dijual bermula RM16,400 dengan pelbagai warna yang menakjubkan membabitkan merah, hitam dan putih.
Vespa Sprint S 150
The Vespa Sprint S 150 direka bentuk untuk menjadi sangat menarik dari keluarga Vespa. Ia dilengkapi dengan pelana baru yang unik selepas diperkemaskan dengan butiran warna putih.
Skuter itu juga hadir dengan pelekat dan kemasan baharu warna merah untuk membezakannya dengan varian lain.
Buat masa ini, ia masih menggunakan enjin sama iaitu i-Get satu silinder empat lejang yang mesra alam.
Ia ditawarkan dengan tiga warna menarik membabitkan biru, kelabu dan hitam yang dijual pada harga bermula RM17,400.
Vespa S125 Carbon Edition
Vespa S125 Carbon Edition menggunakan enjin paling kecil berbanding dua model di atas selepas dipadankan rangkaian kuasa satu silinder empat lejang bersesaran 125cc.
Biarpun berseseran lebih kecil, penampilan lebih menarik selepas menerima sentuhan karbon pada bahagian badannya, selain padanan pelekat S pada rimnya.
Pada masa sama, Vespa S125 Carbon Edition mempunyai pelekat bendera Itali Tricolore pada sebelah sisi dan dada hadapannya.
Rimnya berbeza dengan dua di atas, apabila menggunakan roda bersaiz 11 inci hitam dengan lima bilah. Pilihan warnanya, ia ditawarkan dengan hitam serta putih sahaja.
Harga, Vespa S125 Carbon Edition dijual bermula RM12,500 dan menjadi skuter paling murah berbanding dua model di atas.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video