Tekno
Ford Cipta Model GT Liquid Carbon, Dibiarkan Tanpa Cat
Ruang pameran Ford menjadi tumpuan ramai semasa berlangsungnya Pameran Auto Chicago 2020, mereka berhimpun untuk melihat satu model kereta tanpa cat.
Dipanggil sebagai Ford GT Liquid Carbon, ia adalah model kereta istimewa syarikat Ford yang sarat dengan binaan gentian karbon dan hanya disalut kemasan clear (cat clear). Tiada cat warna atau resin istimewa menyelaputi badan kereta ini.
Portal MotorTrend dalam laporannya menyatakan jurutera Ford memerlukan masa tambahan tiga minggu untuk menyiapkan pembinaan Ford GT Liquid Carbon, jika berbanding tempoh menghasilkan GT standard.
Masa tambahan itu diperlukan kerana kereta tanpa cat ini perlu dihasilkan dengan susunan kemas gentian karbon agar tidak kelihatan rosak atau berlipat kerana tiada lapisan cat diberikan padanya. Jika tidak, ia pasti buruk pada kaca mata umum.
Tempoh masa ini juga menyebabkan hanya satu Ford GT Liquid Carbon dapat disiapkan dalam tempoh satu bulan menjelang tahun 2022.
Sebagai perbandingan, satu model standard Ford GT dapat disiapkan dalam masa satu hari. Seminggu boleh siapkan empat unit Ford GT.
Untuk memastikan susunan gentian karbon nampak sempurna, Ford ada satu pasukan di kilang Multimatic GT di Ontario yang pakar untuk kerja-kerja sebegini.
Ford GT Liquid Carbon bukan sahaja didominasi gentian karbon tetapi ada menerima pembaharuan talaan suspensi dan reka bentuk semula aerodinamik untuk menambah baik sistem sejukan.
Kereta ini juga dipasang enjin 3.5 liter turbo berkembar V6 dengan julat tork lebih luas dan tambahan kuasa output 13hp, menjadikannya kuasa maksimum 660hp.
Must-Watch Video