HIBURAN
Zubir Khan Tak Hantar Pencalonan Di AIM Sebab Rasa Belum Layak - “Apa Yang Menghalang Saya Mungkin…”
Penyanyi meningkat naik, Zubir Khan, memaklumkan bahawa dia belum bersedia untuk menyertai Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun ini.
Menurut Zubir atau Muhammad Zubir Moahamd Ali, 25, dia membuat keputusan itu kerana dia merasakan dirinya masih baharu dan belum cukup berpengalaman dalam dunia seni tanah air.
"Kalau lagu baharu ada potensi dan cukup dari segi komposisi, lirik dan kualiti, saya akan cuba daftar. Tapi, buat masa ini, saya nak belajar dan perbaiki diri dahulu.
"Tahun ini, saya belum bersedia sertai AIM. Saya mahu kutip lebih banyak pengalaman dari segi vokal dan aspek lain.
"Apa yang menghalang mungkin diri sendiri sebab saya perlu belajar banyak benda. Nak naik pentas buat persembahan, saya perlu pastikan diri bersedia dan berkualiti," katanya kepada Gempak.
Pelantun lagu Yennode Macha itu turut menjelaskan bahawa dia enggan menyertai pertandingan hanya sekadar untuk mencuba nasib tanpa persiapan rapi.
“Kalau nak naik pentas besar macam AIM, kita akan bersaing dengan penyanyi berkualiti.
“Kalau hanya bawa lagu sedap, tapi tak jaga mutu vokal, saya juga akan rugi.
"Saya mungkin dapat merasa naik pentas prestij, tetapi tak rasa kepuasan," katanya.
Untuk info, nama Zubir mula mendapat perhatian ramai apabila lagu tamil, Oh My Khadale nyanyiannya bersama penyanyi Ezra Kairo tular di media sosial.
Must-Watch Video