HIBURAN
Zarif Ghazzi Nafi Terkena Penyakit Ain, Anggap Sebagai Ujian - “Hari Pertama Saya Berlakon Hidung Saya Berdarah”
Pelakon, Zarif Ghazzi, menolak dakwaan terkena penyakit ain gara-gara sering jatuh sakit setiap kali memasuki sesebuah set penggambaran drama.
Menurut Zarif, 21, walaupun situasi itu turut menimbulkan rasa keraguan dalam dirinya, dia tidak percaya perkara itu berpunca daripada gangguan penyakit ain.
“Macam sekarang, esok (hari ini), saya dah nak mulakan penggambaran drama baharu, tiba-tiba mata pula jadi merah. Saya pun tak tahu kenapa.
“Bangun pagi tadi terus sakit, ada gatal-gatal dan saya dah dua kali pergi klinik. Doktor beritahu ada jangkitan. Saya pun hairan sebab selalu kena macam ini.
“Sebelum ini, semasa berada di set penggambaran di Perlis untuk drama Abang Imam, Minah Skuter, hari pertama berlakon, hidung saya berdarah. Ada juga masa lain saya demam. Tapi Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar,”katanya kepada Gempak.Zarif berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran drama Abang Imam Minah Skuter dan sesi pickle ball bersama Viu di Lumi Tropicana, Petaling Jaya, Selangor, pada Rabu.
Namun, Zarif tetap menganggap masalah kesihatan yang dialaminya sebagai satu ujian serta pembakar semangat untuk terus kekal aktif dalam bidang lakonan.
“Saya anggap ini semua ujian. Allah tak akan bagi ujian kalau Dia tahu kita tak mampu. Saya anggap ini sebagai semangat untuk saya teruskan perjuangan dalam industri.
“Sebab itu saya tolak andaian bahawa ini berkaitan penyakit ain. Saya tak pernah rasa macam itu.
“Tak dinafikan, pernah sahaja saya alami situasi contohnya orang cakap depan saya baik, belakang saya dengar ada cakap-cakap lain. Tapi saya tak kisah. Saya okey sahaja dengan semua orang,”kongsinya.Sekadar info, platform penstriman, VIU baru sahaja melancarkan sebuah drama komedi romantik terbaharu, Abang Imam Minah Skuter pada 24 Julai nanti.
Drama ini dibintangi oleh Zarif Ghazi dan Bella Dowanna sebagai pelakon utama. Siri ini juga turut menampilkan barisan pelakon dinamik termasuk Zulin Aziz, Bella Hanna, Sharifah Rose, Marc Sadique, Amir Haikal, Khai Bahar, Usop Wilcha, Kazar Saisi, Acong Sweetchild dan Man Raja Lawak.
Must-Watch Video