VIRAL
Lamaran Lelaki Ditolak Hanya Kerana Bawa Terlalu Ramai Tetamu - “Saya Tak Sangka Jadi Isu Besar…”
Niat murni seorang lelaki untuk melamar kekasihnya berakhir dengan kekecewaan selepas pihak keluarga wanita menolak lamarannya kerana membawa tetamu melebihi jumlah yang dipersetujui.
Maksimum 25 orang, yang hadir 40 orang
Wahyu Hidayat, 37, dari Desa Krembangan, Sidoarjo berkata, lamaran di rumah keluarga bakal tunangnya di Warugunung, Surabaya, telah dipersiapkan rapi dengan perbelanjaan mencecah puluhan juta rupiah bagi membeli cincin, rantai, pakaian, kasut serta telefon bimbit.
“Segala persiapan dibuat dengan niat baik, tetapi selepas majlis selesai, tiba-tiba saya ditolak dengan alasan saya membawa terlalu ramai tetamu,” katanya
Menurut Wahyu, pihak lelaki telah bersetuju mengehadkan tetamu kepada maksimum 25 orang, namun disebabkan keterujaan keluarga dan rakan terdekat, jumlah tetamu yang hadir meningkat kepada kira-kira 40 orang.
“Semua yang hadir adalah ahli keluarga dan sahabat rapat. Saya tidak sangka ia menjadi isu besar. Selepas majlis, saya dipanggil ke tepi dan dimaklumkan supaya lamaran dibatalkan,” jelasnya.
Lebih mengecewakan, katanya, pembatalan itu tidak disampaikan terus kepada keluarganya, sebaliknya mereka mengetahui hal tersebut melalui media sosial TikTok.
Wahyu mengenali wanita berusia 27 tahun yang bekerja sebagai guru tadika itu sejak lima bulan lalu selepas diperkenalkan oleh seorang rakan, dan hubungan mereka berjalan mesra dengan pertemuan setiap hujung minggu.
“Saya fikir hubungan ini serius. Namun jika lamaran ditolak hanya kerana jumlah tetamu, saya terima dan tidak akan memaksa,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video