VIRAL
Wanita Terkaya Dunia 2025, Lucy Guo Pandu Honda Civic & Beli-Belah Di Shein
Lucy Guo kini menjadi wanita muda paling kaya di dunia menewaskan penyanyi Taylor Swift. Pendiri Scale AI ini berusia 30 tahun saat dianggarkan mempunyai aset bernilai RM106 bilion menjadikan beliau antara lima bilionair wanita di bawah usia 50 tahun menurut kedudukan terkini Forbes.
Namun Guo tidak menjalani kehidupan mewah yang luar biasa. Beliau tidak memakai barangan berjenama seperti beg Hermes atau jam tangan Patek Philippe. Guo menikmati hidupnya secara sederhana kerana menyifatkan sudah melewati fasa memiliki segala hal dan tidak memerlukan pengiktirafan daripada mana-mana pihak saat ini.
“Menghabiskan duit membeli busana pereka terkenal atau memandu kereta mewah, itu sikap jutawan. Mereka terdesak untyk saling menunjuk-nunjuk dan berlawan di antara satu sama lain.
“Saya, saya sudah berjaya dan saya tidak perlu untuk menunjuk-nunjuk. Saya fikir kenapa ramai bilionair dilihat hanya memakai baju dan jeans biasa kerana mereka boleh lakukan.
“Kami tidak perlu dilihat memakai sut 24 jam kerana tidak perlu membuktikan diri kepada dunia tapi dunia yang sedang memerhati kami. Sungguh, saat ini saya tidak perlu pengiktirafan sesiapapun,” katanya dalam temu bual bersama Fortune.
Menurut Guo lagi dirinya juga selesa membeli belah secara atas talian seperti di Shein.
“Pada hari-hari biasa, pemandu saya hanya membawa saya dengan Honda Civic lama. Dan sungguh saya tidak peduli. Biar nampak biasa tapi kaya,” tambahnya lagi.
Bagaimanapun Guo tidak menafikan pada waktu-waktu tertentu beliau juga memanjakan diri dengan hasil titik peluh dan kejayaan yang dikecapi seperti menaiki penerbangan 16 jam di kerusi bisnes dan membeli gaun berjenama untuk majlis khas.
Must-Watch Video