Hiburan
Wanita Maut, Anak Cedera Insiden Tayangan Perdana Filem, Mahu Jumpa Aktor
Majlis tayangan perdana sebuah filem yang seharusnya berjalan lancar bertukar bencana apabila seorang wanita maut dan dua daripada peminat yang hadir dilaporkan cedera.
Insiden berlaku sewaktu gerombolan peminat bersesak dan merempuh sesama sendiri untuk dapat berjumpa dengan aktor filem Pushpa 2: The Rule, Allu Arjun yang tiba-tiba muncul pada majlis tayangan di sebuah pawagam di Selatan India.
Wanita berusia 39 tahun itu maut manakala anaknya yang berusia sembilan tahun mengalami kecederaan kerana terperangkap dalam ‘rempuhan’ orang ramai sebaik mengetahui Arjun berada di Sandhya Theatre di Hyderabad pada Rabu, lapor ndtv.com.
Menerusi laporan sama, mangsa dikenali sebagai M Revathi yang datang ke pawagam bersama suami, M Bhaskar, anak lelaki dan seorang anak perempuan berusia tujuh tahun untuk menonton filem tersebut.
Bintang filem Telugu itu tiba pada tayangan perdana tersebut bersama pengarah muzik, Devi Sri Prasad dan membuat kejutan sehingga peminat tidak dapat dikawal.
Peminat mula bertolak dan merempuh sehingga pagar pawagam yang ditutup runtuh.
“Mangsa terperangkap dan dirempuh peminat yang terlalu teruja mahu berjumpa Allu. Revanthi dan anak lelakinya jatuh.
“Pihak berkuasa cuba memberi bantuan seleum dia dikejarkan ke hospital berdekatan namun meninggal dunia kerana mengalami kecederaan teruk,” ujar kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Pushpa 2: The Rule merupakan filem sekuel daripada Pushpa: The Rise yang ditayangkan pada 2021. Allu Arjun merupakan teraju utama filem bercorak aksi mafia itu bersama beberapa pelakon lain termasuk Fahadh Faasil, Rashmika Mandanna, Jagadeesh Prathap Bandari, Dhananjaya, Sunil, dan Ajay Ghosh.
Must-Watch Video