Kepala Bayi Putus, Badan Tertinggal Dalam Perut Ibu Ketika Dilahirkan
Insiden menyayat hati melibatkan kematian seorang bayi yang dilahirkan dalam keadaan kepala terputus daripada badan di sebuah pusat kesihatan mencetuskan kemarahan orang ramai serta gesaan agar siasatan dijalankan segera.
Rakaman video yang dikongsikan pemilik akaun Facebook, Dewi Purba, mendakwa insiden menggemparkan itu berlaku di Puskesmas Pinangsori, Kabupaten Tapanuli Tengah, Sumatera Utara, Indonesia pada Isnin lalu.
Klip menyayat hati itu memaparkan bapa bayi berkenaan memeluk erat anaknya yang sudah berbalut kain batik.
Beberapa warganet mendakwa kejadian tersebut berpunca daripada kecuaian petugas perubatan.
“Tolong sebarkan supaya tiada lagi mangsa lain. Badan bayi tertinggal di dalam perut ibunya manakala kepalanya jatuh ke lantai.
“Keluarga mangsa menuntut penjelasan daripada pihak Puskesmas Pinangsori,” menurut pemilik akaun Uwiie Poetrysagita seperti dilaporkan Tribun Medan pada Rabu.
Tuntutan itu dibuat kerana pihak puskesmas didakwa tidak memberi penerangan jelas mengenai peristiwa tersebut.
Siasatan awal mendapati bayi seberat 4.2 kilogram itu sudah meninggal dunia ketika berada dalam kandungan, namun perkara tersebut tidak dimaklumkan kepada ibu bapanya kerana bimbang mereka panik.
Proses melahirkan secara normal tetap dilakukan, namun kepala dan bahu bayi dikatakan tersangkut sehingga terputus ketika cuba ditarik keluar.