VIRAL
Wanita Disyaki Ugut, Sebar Gambar Bogel Cikgu Yang Juga Madunya
Seorang ejen pelaburan direman dua hari bagi membantu siasatan kerana disyaki mengugut dan menyebarkan gambar bogel guru wanita yang juga madunya, Mac lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Asyikin Rosli bermula hari ini hingga esok selepas dipohon pengawai penyiasat bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 507 dan 509 Kanun Keseksaan.
Menurut sumber, wanita berusia 53 tahun itu ditahan polis, 10.15 malam tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, ibu kepada empat anak itu sebelum ini diklasifikasikan sebagai individu dikehendaki bagi siasatan kes terbabit susulan laporan dibuat madunya, 47, yang juga guru sekolah di Subang Jaya, Selangor.
"Pengadu terkejut apabila dimaklumkan bapanya di Klebang yang menerima sepucuk surat daripada suspek berserta gambar bogel anak perempuannya itu dan menantu lelaki.
"Berikutan bimbang gambar aibnya tersebar selain suspek sering mengganggu keluarganya, pengadu bertindak membuat laporan polis pada 27 Mac lalu," katanya.
Sumber berkata, wanita itu bercuti di luar negara atas tajaan syarikatnya di Vienna, Austria dan ditahan sejurus tiba di KLIA.
Peguam suspek, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh berkata, pihaknya sebelum itu membantah permohonan reman selama empat hari yang dipohon polis.
"Anak guam saya ditahan sejurus tiba di KLIA kira-kira jam 10.15 malam tadi dan dia memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan.
"Saya membantah permohonan reman selama empat hari oleh pihak polis kerana kes ini hanya membabitkan kes domestik.
"Alasan polis untuk memohon tempoh reman empat hari itu termasuk bagi menyiasat sama ada anak guam saya menggunakan akaun media sosial palsu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan suspek, namun tidak mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video