HIBURAN
“Saya Bukan Ubah Ciptaan Tuhan, Saya Mahu Sembuh & Lebih Yakin” – Sajat
Selebriti sensasi media sosial, Nur Sajat tampil menjawab dakwaan segelintir netizen yang menuduh dirinya sengaja mengubah ciptaan Tuhan selepas mengakui menjalani pembedahan hidung baru-baru ini.
Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman menjelaskan, tujuan dia melakukan rawatan tersebut bukanlah kerana mahu melawan takdir Tuhan, sebaliknya untuk menyembuhkan diri dan membina keyakinan.
“Saya bukan ingin mengubah ketentuan Tuhan. Saya hanya mahu sembuh, rasa lebih yakin dan menerima kecantikan diri sendiri.
“Pada usia saya sekarang, saya tidak lihat itu sebagai satu kesalahan,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
Tambah pelantun lagu Bobo Di Mana itu, apa yang dilakukan hanyalah usaha menghargai diri sendiri dan mencari ketenangan tanpa mengganggu orang lain.
“Bagi saya, ini bukan soal melawan agama, tetapi tentang sayangi diri sendiri.
“Selagi saya kenal Tuhan saya dan tahu apa yang saya lakukan, tiada batasan.
“Orang lain mungkin melihatnya dari sudut berbeza, tapi itu pandangan mereka. Bagi saya, saya memilih kebahagiaan, keyakinan dan ketenangan,” ujarnya.
Terdahulu, Sajat memuat naik video memaparkan dirinya dipercayai selesai menjalani operasi hidung. Katanya, meskipun prosedur itu menyakitkan, dia sanggup menanggungnya demi kelihatan lebih cantik dan menawan.
Namun, tindakan tersebut turut mengundang teguran segelintir netizen yang menasihatinya supaya tidak berbuat demikian kerana didakwa berdosa di sisi agama.
Must-Watch Video