Wajib Tidur Ramai-Ramai Dekat Ruang Tamu, Momen Indah Hun Haqeem Setiap Kali Pulang Beraya - "Kalau Ada Orang Ambil, Saya Akan..."
Pelakon, Hun Haqeem berkongsi antara momen yang paling dirindui ketika pulang beraya adalah tidur bersama saudara-mara di ruang tamu beramai-ramai.
Menurut Hun, dia mempunyai satu 'port' khas buat dirinya untuk tidur setiap kali balik ke rumah neneknya itu.
"Saya pernah ada pengalaman tidur ramai-ramai di ruang tamu rumah nenek saya di Kuching, Sarawak. Itu memang satu kewajipan bagi kami semua.
"Sampai sekarang, bila saya balik kampung, saya mesti tidur di ruang tamu rumah nenek saya. Port itu memang saya punya tempat! Kalau ada orang cuba ambil tempat saya, saya akan usir mereka untuk cari tempat lain," katanya kepada Gempak.
Pada masa sama, aktor yang popular dengan drama Honey Minta Maaf itu turut menyatakan kemeriahan Syawal dalam keluarganya sangat dirasai kerana dia mempunyai ramai adik-beradik sebelah ibunya.
Baginya, kehadiran mereka sudah cukup untuk menceriakan suasana hari raya tanpa perlu melakukan perkara lain.
"Untuk keluarga saya, Alhamdulillah, adik-beradik belah mak saya sangat ramai. Jadi, saya rasa kewujudan mereka sudah cukup meriah untuk saya," jelasnya.
Skill masak Laksa Sarawak
Dalam pada itu, Hun Haqeem turut mendedahkan juadah paling dinantikannya setiap kali musim perayaan adalah Laksa Sarawak.
Baginya, setiap rumah yang dikunjunginya akan menyajikan laksa dengan rasa dan gaya penyediaan yang berbeza.
"Laksa Sarawak adalah menu paling saya nantikan sebab setiap rumah yang saya pergi beraya akan tunjuk skill masing-masing dalam menyediakan hidangan ini.
"Setiap rumah ada perbezaan rasa dan stail mereka tersendiri dalam menyediakan Laksa Sarawak, dan itu yang buatkan saya tak sabar untuk menikmati setiap hidangan" ujarnya.
Terdahulu, Hun pernah berkongsi dia pernah mengikat perut selama dua tahun untuk pulang ke Sarawak kerana tiket penerbangan pada ketika itu terlalu mahal untuknya.