HIBURAN
Wajah Terpampang Di Billboard New York, Marsha Milan Syukur, Impi Bekerjasama Dengan Artis Indonesia - “Gadis Dari Kampung Tamparuli, Tiba-Tiba Wajah Di New York…”
Penyanyi Marsha Milan meluahkan rasa syukur apabila wajahnya berjaya menghiasi papan iklan digital di Times Square, New York baru-baru ini menerusi kempen promosi muzik peringkat global.
Menurut Marsha, dia telah dimaklumkan lebih awal mengenai perkara itu kerana perlu melengkapkan beberapa dokumen dan menjawab beberapa soalan sebagai sebahagian daripada proses kempen.
Namun, detik menyaksikan wajahnya sendiri terpampang di lokasi paling ikonik di dunia itu tetap menjadi satu momen yang membanggakan.
“Saya dapat tahu dah lama sebelum ia keluar, sebab ada paperwork yang kena isi dan jawab beberapa soalan.
“Bila saya tengok muka sendiri keluar dekat billboard, saya rasa macam Masya-Allah, ini semua dengan izin Allah. Mungkin bagi sesetengah orang ini perkara kecil, tapi bagi saya ini satu kebanggaan besar – seorang gadis dari kampung di Tamparuli, Borneo, tiba-tiba wajah berada di New York.
“Saya sangat bangga, Alhamdulillah,” kongsinya kepada Gempak.
Dalam pada itu, pelantun lagu Hening Rindu itu turut berharap pencapaiannya itu mampu menjadi inspirasi, bukan sahaja untuk dirinya sendiri, tetapi juga buat bakat-bakat baharu dalam industri seni tanah air.
“Saya harap apa yang saya dapat ini dapat beri inspirasi, terhadap saya sendiri dan juga artis-artis baharu di luar sana,” katanya.
Berkongsi mengenai impian masa depan, Marsha berkata dia terbuka dengan segala bentuk rezeki yang Allah tetapkan, namun mengakui menyimpan hasrat untuk berduet dengan beberapa penyanyi popular dari negara jiran, Indonesia.
“Impian saya tidaklah besar, tapi saya teringin nak berduet dengan artis Indonesia seperti Judika, Cakra Khan, atau Rossa. Mereka ini semua idola saya. Saya sangat berbesar hati kalau kita boleh berkolaborasi. Saya suka tone suara mereka dan teringin sangat nak buat satu lagu bersama mereka. Insya-Allah, kalau ada rezeki,” ujarnya.
Must-Watch Video