FILEM
Vino G. Bastian Selesa Digelar Ustaz Sampai Ada Yang Minta Diruqyah - “Saya Tak Kisah Malah Seronok”
Pelakon Vino G Bastian, mendedahkan dia selesa dipanggil Ustaz Qodrat oleh rakan-rakan industri seni selepas membintangi filem Qodrat dan Qodrat 2.
Kongsi Vino, 43, gelaran itu satu pencapaian dalam kariernya kerana watak tersebut kekal dalam ingatan ramai.
"Saya tidak kisah malah seronok dipanggil Ustaz Qodrat oleh kawan-kawan. Di Jakarta ada peminat yang minta diruqyah tapi saya dah lupa bacaannya.
"Bila berlakon dalam filem ini, saya belajar menjiwai karakter Ustaz Qodrat. Ia sekali gus jadi benteng untuk melarang saya buat perkara yang tidak baik di dunia realiti.
"Pada masa sama, saya juga ajarkan ayat al-Quran yang ringkas dalam filem ini kepada anak-anak saya. Ia seperti satu keberkatan berlakon filem dan dapat buat amal ibadah," katanya yang ditemui pada Malam Gala Qodrat 2, baru-baru ini.
Filem Qodrat 2 bukan sekadar filem seram biasa, tetapi menyentuh elemen spiritual yang sangat dekat dengan masyarakat kita.
Untuk info, filem Qodrat 2 terbitan MAGMA Entertainment dan Astro Shaw ini masih mengikuti perjalanan Ustaz Qodrat (Vino G. Bastian) selepas menyelamatkan Alif daripada cengkaman Asuala.
Kali ini, tumpuan beralih kepada usahanya mencari isterinya, Azizah (Acha Septriasa) yang mengalami kemurungan selepas hilang akidah.
Berbeza dengan Qodrat (2022) yang masih penuh misteri, filem kedua ini menyajikan kisah yang lebih mendalam dan perlahan-lahan menyingkap latar belakang keluarga Qodrat.
Dengan visi sedemikian, pengarah, Charles bijak memutuskan untuk mengubah sudut pandangan bercerita. Tumpuan kini beralih kepada Azizah, isterinya.
Saksikan Qodrat 2 yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Must-Watch Video