HIBURAN
UNDER 18 x KLEPET: Kolaborasi Komik & Filem Pertama Di Malaysia Tarik Perhatian Peminat Seni Visual
Sempena pelancaran filem aksi komedi KLEPET yang bakal ditayangkan tahun ini, syarikat produksi Respected Citizen tampil menjalin kerjasama istimewa bersama Kadokawa Gempak Starz bagi menerbitkan komik edisi khas Exclusive Box ‘UNDER 18 x KLEPET’.
Kolaborasi unik antara komik UNDER 18 dan filem KLEPET bukan sahaja menggabungkan dua dunia kreatif, malah mencetus fenomena baharu dalam penceritaan visual tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kadokawa Gempak Starz, Chris Yew meluahkan rasa bangga apabila pihaknya diberi kepercayaan untuk bekerjasama dalam projek kolaborasi antara komik UNDER 18 dan filem KLEPET.
Menurut Chris, idea untuk menggabungkan dua medium seni berbeza itu sangat menarik dan dilihat sebagai peluang besar untuk memajukan lagi industri kreatif tempatan.
“Idea ini sangat menarik dan kami berasa bertuah kerana dipilih oleh Respected Citizen. Kami melihat Klepet sangat serasi dengan konsep Under 18, jadi kami tidak teragak-agak untuk menjayakan projek ini. Harapan kami agar lebih banyak kerjasama seumpama ini dapat direalisasikan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, menurut Penerbit filem KLEPET, Aeril Zafrel, idea untuk kolaborasi ini telah dirancang sejak peringkat awal pembangunan filem.
“Dari awal memang kami sudah maklumkan filem ini ada babak komik, jadi kami nampak UNDER 18 memang paling sesuai untuk berkolaborasi berdasarkan karakter mereka. Daripada situ lah kami dapat idea untuk hasilkan komik khas ini.
“Saya dapat rasakan ramai yang tertarik bila dah buat untuk live action. Kehadiran watak-watak kegemaran seperti Fox dan Jimi boleh tarik audiens untuk filem ini.
“Ini merupakan filem pertama di Malaysia yang menggabungkan komik dan juga live action dalam bentuk naratif yang selari,” ujar Aeril.
Chris dan Aeril berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran kolaborasi di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) pada Ahad lalu.

Set edisi terhad ini dijual pada harga promosi RM99 semasa PBAKL, berbanding harga asal RM120. Ia merangkumi komik eksklusif, hoodie, pelekat koleksi dan lanyard istimewa.
Filem KLEPET, yang dijadualkan untuk tayangan pada tahun ini, menampilkan tiga pelakon popular iaitu Aedy Asyraf, Nadhir Nasar, dan Meerqeen, serta diarahkan oleh Indra Putra (Sanji).
KLEPET mengisahkan tiga sahabat, Pali, Jani dan Wadi yang terseret dalam pengembaraan luar biasa selepas bertemu dengan seorang wanita Ukraine yang melarikan diri daripada sindiket penipuan.
Must-Watch Video