HIBURAN
"Tunggu Khabar Gembira Mengenai Yassin Beberapa Minggu Lagi" - Azlee
Pelawak senior yang juga anggota kumpulan Senario, Azlee akhirnya berkongsi khabar gembira mengenai sahabatnya, Yassin Yahya atau Yassin Senario.
BERITA TRENDING: Ketiadaan Yassin Beri Kesan Kepada Wahid Senario - “Dengan Tanpa Malunya, Saya Kata Dia Adalah Sumber Rezeki Saya”
BERITA TRENDING: “Semua Boleh Buat Spekulasi & Andaian..." - Saiful Apek Enggan Ulas Lanjut Hal Berkaitan Yassin
Menurut Azlee atau nama sebenarnya Azlee Jaafar, 57, isteri Yassin, Farah Waheeda Maharidan memaklumkan pelawak, pelakon dan penyanyi itu kini berada dalam keadaan baik.“Saya tidak dapat menghubungi Yassin, tetapi isteri dia beritahu Yassin berada dalam keadaan sihat. Doakan yang baik-baik buat Yassin.
“Tunggu khabar gembira beberapa minggu lagi, kita akan bersama dengan dia. Doakan semoga dia akan bersama dengan kami,” ujarnya.
Enggan mengulas lanjut mengenai keberadaan Yassin, 46, Azlee bagaimanapun meluahkan rasa cemburu kerana adik bongsu dalam Senario itu berada di tempat yang lebih baik.
“Saya sedih sebab kita akan berpuasa di sini, tetapi dia berpuasa ‘di sana’. Beruntung dia kerana itu salah satu rahmat juga.
“Dia pun sedang menambah ilmu, ilmu ALLAH ini banyak yang perlu kita tambah. Jadi dia sedang menuntut ilmu, mana tahu nanti dia pulang, dia ajar kita pula.
“Tidak kisahlah di mana dia berada, sekali lagi doakan yang baik-baik,” jelasnya.
Dalam pada itu, bintang Rumah Maduku Berhantu tersebut turut berkongsi khabar gembira mengenai perkembangan kumpulan Senario yang akan mengadakan konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Oktober depan.
“Kami akan mengadakan konsert berskala besar di Stadium Merdeka dan menyasarkan kehadiran 40,000 peminat.
“Kita harap semua anggota Senario akan turut serta pasa konsert itu nanti,” ujarnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pelawak popular yang ditahan di Jeddah, Arab Saudi, Oktober lalu, atas kesalahan dadah dan sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan.
Bagaimanapun sekiranya berkelakuan baik, lelaki berkenaan boleh dibebaskan lebih awal berbanding tempoh hukuman sebenar yang dijangka selesai pada April.
Sejak penahanannya, pihak Kedutaan Besar Malaysia dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah memberikan bantuan konsular kepada warga Malaysia terbabit.
Pelawak itu dipercayai ditahan di Lapangan Terbang Jeddah oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Difahamkan, selebriti berkenaan menunaikan umrah bersama rakan-rakannya, namun ditahan selepas disyaki membawa bahan terlarang.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video