Berita
Tubuh Parti Politik Sendiri, Rajinikanth Umum Sertai Politik
Legenda filem India, Rajinikanth akhirnya mengumumkan penyertaannya dalam dunia politik, pada Ahad lalu.
Pelakon berusia 67 tahun itu dilapor akan membentuk parti politiknya sendiri dan akan bertanding pada pilihan raya akan datang.
“Saya akan membentuk parti politik sendiri dan parti saya akan bertanding di semua 234 kerusi dewan undangan negeri dalam pilihan raya akan datang pada 2021.
“Saya tidak melakukannya kerana jawatan, wang atau kemasyhuran kerana saya sudah memilikinya,” kata Rajinikanth kepada penyokongnya di sebuah dewan di Chennai, ibu kota Tamil Nadu.
Aktor yang digelar sebagai Superstar itu juga berkata, menjadi tugasnya untuk mengubah sistem di negeri Tamil Nadu itu.
"Saya akan berjuang untuk politik kerohanian tanpa kecenderungan terhadap mana-mana kasta atau agama.
"Sekiranya saya berkuasa dan tidak mampu menunaikan janji saya dalam masa tiga tahun, saya akan letak jawatan. Demokrasi di negeri ini ketika ini berada dalam kedukaan," katanya.
Pengumuman itu disambut dengan meriah oleh peminatnya yang membakar bunga api dan melaungkan slogan untuk Rajinikanth di luar dewan.
Sementara itu di media sosial, rata-rata netizen termasuk pengguna Twitter melahirkan rasa teruja mereka dan yakin pelakon itu akan mengubah masa depan negeri itu.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video