Berita
Terima Kunjungan Imam Muda, PU, Dai – Ini Pesanan Berharga Dr Zulkifli
Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerima kunjungan pendakwah daripada rancangan realiti TV iaitu Imam Muda, Pencetus Ummah (PU) dan Dai Milennia, kemarin.
Dalam pertemuan itu, Dr. Zulkifli menitipkan pesanan berharga buat mereka tentang dunia dakwah sebenar.
“Tidak ada apa-apa yang ingin nasihat melainkan saya berpesan kepada mereka untuk tetap di atas jalan yang diredhai Allah.
“Dunia dakwah hakikatnya tidak sekadar apa yang dizahirkan di Instagram, Facebook, Twitter hatta TikTok.
Realiti di luar sana jauh lebih berat dengan 1001 cabaran yang menanti. Populariti, kemasyhuran dan pujian hanya nikmat sementara yang amat ditakuti para salafussoleh,” katanya.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkongksi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.
Menerusi entri tersebut, beliau memuat naik foto sepanjang pertemuan tersebut.
Antara pendakwah muda yang hadir, PU Riz, Imam Muda Asyraf, PU Syed, PU Rahmat, Dai Fuad dan ramai lagi.
Dalam masa yang sama Dr. Zulkifli meminta agar semua pendakwah itu melengkapkan diri dengan ilmu dan kitab Islam.
“Tahniah kepada barisan pendakwah yang sedang menyambung pengajian peringkat Sarjana dan PhD, jua yang telah memilikinya. Itu adalah sejuzuk tanda komitmen anda kepada ilmu.
“Tekunilah kitab Thaqafah al-Da’iyyah oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Humum Da’iyyah oleh Syeikh Dr. Muhammad al-Ghazali. Sibukkan diri kita dengan melengkapkan diri dengan ilmu dan amal kerana anda telah mewaqafkan diri anda untuk ummah,” nasihatinya lagi.
Akhir sekali Dr. Zulkifli mengucapkan terima kasih di atas kunjungan mereka.
“Terima kasih IM Asyraf, IM Hizbur, IM Hassan, IM Fakhrul, PU Riz, PU Salman, PU Hafiz, PU Rahmat, PU Amin, PU, Akram, PU Syed, Dai Fuad, Dai Aiman, Dai Hazman, Dai Afiqah dan Dai Wan.
“Tahun 2021, kita mulakan buku baharu. Saya mahu anda semua menjadi intelektual Muslim dan ikon belia yang dibanggakan umat Islam di Malaysia,” katanya lagi.
Must-Watch Video