HIBURAN
“Tak Pernah Komen Politik” – Dafi Tak Terjejas Isu Libatkan Bapa, Fokus Pada Karier Sendiri
Penyanyi dan pelakon, Dafi menjelaskan dirinya tidak terkesan dengan isu semasa membabitkan bapanya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini berdepan tindakan undang-undang membabitkan jumlah wang besar.
Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, menghormati ruang kerja bapanya dan lebih selesa mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam sebarang hal berkaitan politik.
“Saya harap semuanya dapat selesai dengan baik dan tenanglah kan. Dan harapnya keadaan akan kembali normal secepatnya. Tapi secara jujur, bukan cakap besar, situasi itu tidak sampai efek ke saya.
“Saya berterima kasihlah kepada orang kat luar sana sebab masih ada rasa hormat dan faham yang itu bahagian kerja dia. Saya ada kerjaya sendiri dan tak patut kaitkanlah secara ‘direct’ selalu,” katanya ketika ditemui Gempak baru-baru ini.
Mengulas lanjut, bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima itu mengakui sejak dahulu lagi dirinya sememangnya mengelak untuk terlibat dalam perbincangan berkaitan politik.
“Sebab saya memang tak pernah komen, jarang-jarang sangatlah nak bercakap pasal politik, tak pernah kot. Saya tak pernah babitkan diri saya dengan bidang itu sebab ada kesedaran diri, itu bukan bidang saya.
“Jadi siapa saya untuk bersuara? Daripada situ mungkin bila berlaku benda-benda macam ini, tidak sampai tahap yang membebankan sayalah. Semestinya sedikit sebanyak adalah orang yang kaitkan,” katanya.
Tambah Dafi, masyarakat kini juga dilihat semakin faham akan pendiriannya yang enggan berbicara mengenai sesuatu perkara yang bukan dalam bidangnya.
“Kira saya rasa orang sudah belajar untuk menghormati yang saya menolak untuk bercakap pasal perkara itu. Sebab saya tak suka bercakap pasal benda yang bukan bidang saya.
“Apa-apa hal, saya cuma sokong dia sebagai seorang anak. Itu saja saya punya peranan saya. Dia tak pernah menghalang untuk saya bersuara,” katanya lagi.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai berjumlah lebih RM169 juta dalam pelbagai mata wang tempatan dan asing milik Ismail Sabri.
Must-Watch Video