HIBURAN
“Ada Yang Nak Kahwin Tak Lama Lagi, Doakan Jodoh Fazura Pun Hadir” – DJ Sonic
Penyampai radio dan pengacara, DJ Sonic, 45, menitipkan doa agar pelakon popular Fazura dipermudahkan urusan termasuk segera bertemu dengan jodoh yang terbaik buat dirinya.
Sonic yang sudah lama mengenali Fazura mendedahkan perkara itu menerusi satu hantaran di laman Threads.
Katanya, selain mendoakan kebahagiaan insan lain yang bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi, dia juga tidak lupa menitip doa khusus buat pelakon filem Gol & Gincu itu.

“Alhamdulillah. Ada yang nak kahwin tak lama lagi. Sama-sama kita doakan semua urusan mereka dipermudahkan! Aamin.
“FAZURA? Big no.. tapi mana tahu kan, dengan izin Allah. Doakan kita semua dipermudahkan urusan. Doakan Nyamma & mommy-nya ditemukan dengan insan yang terbaik dunia akhirat! Aamin.”
Dalam masa sama, Sonic turut menyentuh tentang ketabahan Fazura yang bergelar ibu tunggal hampir setahun lalu apabila memberi tumpuan sepenuhnya membesarkan anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya atau mesra dipanggil Nyamma.
“Selama hampir setahun ini, Faz besarkan Nyamma dengan kasih sayang, segalanya untuk Nyamma. Faz itulah 24 jam kerja, siang malam.
“Doakan jodoh Faz akan hadir juga tak lama lagi. Aamin,” katanya.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai peminat yang rata-rata terharu dengan keprihatinan serta doa ikhlas Sonic terhadap Fazura.
Malah ada yang menyifatkan hubungan mereka sebagai rakan industri sangat akrab dan saling menyokong.
Sebelum ini, Sonic juga pernah memuji sikap Fazura yang dianggap sebagai wanita berhati mulia serta sentiasa mengutamakan keluarganya.
Terdahulu, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap suaminya, pelakon Fattah Amin di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 13 September tahun lalu.
Difahamkan permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, kini berusia empat tahun.
Sumber: Thread
Must-Watch Video