HIBURAN
“Tak Bergaduh, Cuma Ada Perselisihan Faham Dengan…” - Ronnie Hussein Perjelas Hubungan Dengan Hyper Act
Penyanyi, Ronnie Hussein, tampil menafikan dakwaan kononnya wujud pergaduhan antara dirinya dan anggota kumpulan Hyper Act selepas pengundurannya beberapa tahun lalu.
Menurut Ronnie atau nama sebenarnya Shahron Hussein, 43, cerita yang tersebar hanyalah salah faham yang timbul disebabkan isu dalaman bersama pengurusan lama, bukannya pertelingkahan sesama ahli kumpulan.
“Untuk pengetahuan, mungkin ada yang dengar cerita saya bergaduh dengan Hyper Act. Sebenarnya, kami tak bergaduh pun.
“Cuma ada perselisihan faham dengan pengurusan lama. Jadi bila sekarang ini pengurusan lama dah tak uruskan Hyper Act, semuanya okay saja.” kongsinya.
Jelas Ronnie lagi, hubungan baik antara dia dan anggota Hyper Act masih terjalin, malah mereka pernah berkongsi pentas dalam sebuah konsert tahun lalu.
“Kami masih berhubung. Malah, tahun lepas kami pernah buat konsert bersama. Tak ada isu pun sebenarnya.” katanya.
Ronnie berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Dadali ‘Sebuah Kisah’ Volume 1 yang berlangsung di Hotel Royal Chulan, di sini, pada Rabu.
Ketika ditanya sama ada Bintang Gegar Vaganza 11 (GV11) itu serik untuk menyertai mana-mana band selepas perkara itu, Ronnie menyatakan dia terbuka untuk menjalinkan kerjasama sekiranya diberikan peluang.
Bagaimanapun, Ronnie lebih selesa menyertai kumpulan yang masih baharu dan belum dikenali ramai, berbanding menggantikan tempat penyanyi lama yang sudah mempunyai reputasi tersendiri.
“Saya tidak rasa saya bagus, cumanya benchmark penyanyi lama itu memang sudah tinggi.
“Bila saya masuk, orang mesti akan bandingkan, itu perkara yang tak dapat dielak. Jadi kalau diberi pilihan, saya lebih suka bersama band yang baharu, kita naik sama-sama,” ujarnya.
Menerusi perkembangan lain, Ronnie bakal muncul sebagai artis undangan dalam Konsert Dadali ‘Sebuah Kisah’ Volume 1 yang akan berlangung di Zepp Kuala Lumpur pada 5 Julai 2025.
Must-Watch Video