HIBURAN
Syarikat Produksi Tempatan Bakal Terima Rebat 30 Peratus Daripada Kerajaan
Syarikat produksi tempatan bakal menerima rebat sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan bajet penghasilan sesebuah karya daripada kerajaan di bawah Insentif Filem Malaysia (FIMI).
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, inisiatif 30 peratus itu diberikan sebagai bantuan lebih strategik untuk memperkasakan penerbitan naskhah tempatan.
“Kita perlu beri peluang kepada syarikat filem tempatan dengan menghulurkan pelbagai struktur bantuan lebih baik dan mantap kalau bajet RM7 juta, insya-Allah sebanyak RM1 juta akan dikembalikan.
“Rebat itu diberi menerusi FIMI bagi membantu syarikat penggambaran dan menghargai inisiatif mereka.
“Ini juga satu laluan ke depan yang mana syarikat produksi bukan hanya bergantung dana finas tetapi keterbukaan penglibatan syarikat lain dan juga rumah produksi,” katanya pada majlis pelancaran filem Blood Brothers Bara Naga di IOI City Mall, Putrajaya pada Isnin.
Tambah Fahmi lagi, dia turut berharap industri perfileman negara akan terus menghasilkan naskhah yang boleh menjana pendapatan menerusi harta intelek (IP).
“Diharapkan di masa hadapan ia akan membuka laluan agar syarikat tidak hanya bergantung harap kepada Dana Kandungan Digital (DKD) Finas.
“Saya juga menjangkakan dalam masa yang singkat kita akan ada penglibatan daripada syarikat lain seperti perbankan komersial yang melihat hasil karya ini sebagai hak intelek (IP) yang boleh menjana pendapatan.
“Saya percaya perkara ini boleh dihasilkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fahmi melihat kepercayaan itu boleh diraih sekiranya sesuatu naskhah itu mempunyai skrip dan sutradara yang meyakinkan.
“Bagi mendapatkan filem yang bagus, kita memerlukan skrip, produksi, promosi dan sutradara yang lengkap.
“Pada masa yang sama kita boleh membangunkan lebih banyak syarikat produksi seperti Skop.
“Selain itu saya berharap semua akan ambil sedikit masa untuk menonton filem buatan Malaysia dan buktikan naskhah tempatan memang baik untuk semua,” katanya.
Must-Watch Video