Laman Utama
Sudah Bertudung, Oktovia Manrose Tak Pilih Watak Sebarangan - “Dulu Lakonan Saya Banyak Daring…”
Selepas memilih untuk berhijrah dan mengenakan hijab, pelakon Oktovia Manrose mengakui lebih selektif dalam memilih watak dalam bidang lakonan.
Selari dengan imej baharunya itu, Oktovia berkata, dia tidak mahu lagi melakonkan watak yang kurang sesuai dengan ciri-ciri wanita muslimah.
“Ada beberapa tawaran yang saya dapat, tapi sebab saya sudah berhijab, saya tak bolehlah bertindak sesuka hati macam dulu.
“Dulu, saya akui yang lakonan saya banyak daring. Tapi bila dah menutup aurat, takkanlah saya nak berlakon seperti dulu lagi kan?
“Suha juga sebab kena pilih watak tapi kalau sudah ditakdirkan ada rezeki, insya-Allah peluang akan sentiasa ada,” katanya.
Dalam pada itu, suami kepada Oktovia iaitu Mohamad Khairul Efsan Md. Isa berkata, dia memberi kebebasan kepada isterinya untuk memilih watak yang bersesuaian dengan dirinya.
“Saya tidak pun meletakkan syarat, tetapi saya tahu dia bijak memilih dan pandai buat keputusan.
“Bagi saya mudah sahaja, selagi apa yang dia buat tidak bercanggah dengan agama dan maruah sebagai wanita, saya tidak akan melarang sebab itu kerjayanya.
“Sebelum dia beritahu tentang sesuatu tawaran lakonan yang diterima, saya tahu dia akan tapis dulu,” kongsinya.
Untuk rekod, Oktovia dan Efsan mendirikan rumah tangga pada 21 Disember lalu. Ini merupakan pernikahan kedua bagi Oktovia yang turut memiliki seorang anak lelaki, Muhammad Rayyan Zulkarnain yang berusia 11 tahun, hasil perkahwinan terdahulu.
Must-Watch Video