BERITA
Kebakaran Luar Biasa Di Putra Heights! Api Menjulang Tinggi, Kawasan Sekitar Dihujani Pasir & Debu
Satu kebakaran besar berlaku di Putra Heights 1, Puchong, Selangor yang dianggarkan bermula sekitar jam 8.15 pagi pada Selasa.
Seorang penduduk, Alisha Nur Mohd Noor berkata, dia dapat merasakan bahang api dari rumah makciknya di Kampung Tengah, Puchong yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
Menurutnya, api daripada kebakaran tersebut menjulang sangat tinggi, melebihi 15 tingkat bangunan dan dapat dilihat dengan jelas dari kejauhan.
"Kami sekeluarga pada mulanya menyangka bunyi letupan itu adalah mercun kerana ia sangat kuat.
"Tidak lama selepas itu, bekalan elektrik di kawasan ini terputus.
"Saya mengesyaki kebakaran berpunca daripada saluran paip gas," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, ada penduduk sekitar memaklumkan seluruh Puchong dan Putra Heights kini dihujani batu pasir dan debu kesan daripada kebakaran tersebut.
“Bencana yg sedang berlaku. Kebakaran di Petronas Putra Height. Habis seluruh Puchong dan Putra Height kena hujan batu pasir debu. Bunyi api terbakar sangat kuat dan dasyat,” kongsi Azizee Bos Abul.
“Terkini, paip gas Petronas dikatakan punca berlaku kebakaran di Putra Height ketika ini,” kata seorang pengguna.
Menerusi video secara langsung yang dikongsikan oleh pengguna media sosial, Navan, kebakaran jelas dilihat kerana api yang menjulang tinggi selain bahangnya dapat dirasai menerusi balkoni tempat tinggalnya dipercayai sebuah apartmen.
Dalam pada itu, Pusat Operasi PANTAS memaklumkan menerima aduan kebakaran Stesyen Minyak Petronas, dari Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) ke Putra Height.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan kejadian kebakaran membabitkan kebocoran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya.
JBPM dalam satu kenyataan ringkas berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kebakaran itu jam 8.23 pagi.
Sumber: Kosmo, Sinar Harian
Must-Watch Video