HIBURAN
Spider Tampil Dengan Konsert Unplugged Pertama, Bakal Cipta Sejarah - “Kami Tak Mahu Sekadar ‘Goreng’ Muzik Dan Balik”
Kumpulan Spider bakal membuat kemunculan istimewa menerusi Spider Unplugged Concert yang ternyata menjanjikan sambutan muzik istimewa, memperlihatkan keunikan dan kekuatan Spider sebagai salah satu kugiran terbaik tanah air.
Bakal mementaskan konsert bersejarah itu di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2025, kolaborasi bersama penganjur Naga Legend Entertainment itu amat dinantikan peminat Spider.
“Menyebut sahaja nama Spider sudah membuatkan kami di Naga Legend Entertainment rasa teruja apa lagi apabila lamaran kami untuk mengadakan SPIDER UNPLUGGED CONCERT disambut baik oleh kumpulan legenda ini.
“Dan konsep unplugged yang dibawakan ini adalah yang pertama kali kami tampilkan bersama Spider. Tentu sahaja hasilnya akan ‘mewah’, tersendiri serta akan menjadi momen terbaik yang pernah disaksikan oleh peminat Spider,” ujar Fandy Alias wakil dari Naga Legend Entertainment.
Buat Spider yang terdiri daripada Tam (vokal), Aie (drum), Iss (bass) dan Pown (gitar), mereka sepakat memilih untuk mementaskan konsert ini dengan visi dan misi yang selari bersama Naga Legend Entertainment malah Spider tidak mahu menganjurkan konsert sekadar ‘cukup syarat’.
“Pertama tentu sahaja Spider tidak mahu mengadakan konsert yang ‘asal konsert’ kerana mahu terjun dalam keramaian dan semarak penganjuran konsert. Sama seperti penghasilan karya, maka begitu juga Spider selektif dalam penganjuran konsert terutama konsert solo.
“Jadi hal utama yang diberi penekanan adalah konsep yang mahu dipersembahkan kepada peminat. Spider tidak mahu naik ke pentas, ‘goreng muzik’, menyanyi ala kadar dan pulang. Apa yang peminat dapatkan dengan persembahan seperti itu?
“Sebaliknya Spider akan mendahulukan konsep, kualiti terutama daripada segi sistem audio dan teknikal lainnya serta kadar kesiapan kami yang berada pada tahap maksimum. Selepas itu barulah Spider boleh berikan yang terbaik dan ‘kasi pecah panggung’,” ujar Tam mewakili Spider.
Justeru SPIDER UNPLUGGED CONCERT disifatkan Tam sebagai sebuah konsert yang belum pernah dipersembahkan dan sudah tiba waktu kugiran tersebut tampil dengan sesuatu yang unik dan bakal menjadi sejarah penganjuran di negara.
Dapatkan kategori dengan tiket berharga RM198 (ALADDIN ; FREE SEATING), RM238 (CINTA DEWA DEWI ; NUMBERED SEAT), RM298 (KASIH LATIFAH ; NUMBERED SEATING) RM388 (RELAKU PUJUK ; NUMBERED SEATING) menerusi pembelian di www.ilassotickets.com/spiderunplugged bermula 25 April 2025, jam 3 petang.
Must-Watch Video