HIBURAN
Siti Nurhaliza Hanya Ambil Masa Kurang Setengah Jam Rakam Lagu Sesal, Tiada Masalah Bermain Emosi – “Saya Hayati Rasa Seorang Ibu Yang Anaknya Dah Hilang”
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memaklumkan beliau hanya mengambil masa kurang daripada setengah jam untuk merakamkan lagu terbaharu nyanyiannya yang juga runut bunyi ramai (OST) filem Telaga Suriram yang berjudul Sesal.
Rakam Lagu Kurang Setengah Jam
Menurut Siti, beliau tidak mempunyai masalah sepanjang proses rakaman tersebut biarpun lagu ciptaan Nurzaidi Abd Rahman itu sarat dengan emosi.
“Sebenarnya saya dirisik oleh pengarah sudah lama namun syukur akhirnya kerjasama itu menjadi kenyataan.
“Alhamdulillah saya merakamkan lagu ini dalam masa kurang daripada setengah jam sebab melodinya sangat mudah dihayati dan lirik senang faham.
“Saya cuba menyampaikan lagu ini dengan fahaman saya dan lagu balada ini tidak begitu sukar untuk saya hayati selepas saya dapat tahu jalan cerita filem,” katanya kepada Gempak.
Pengalaman 30 Tahun Jadikan Proses Rakaman Lancar
Kongsi Siti lagi, pengalamannya dalam industri seni selama 30 tahun membuatkan proses rakaman tersebut menjadi mudah dan lancar.
“Saya rakam beberapa kali biarpun ada yang sudah sempurna, saya suka buat begitu dalam setiap rakaman.
“Kalini saya nyanyi satu kali terus, saya tak mahu berhenti supaya emosi itu saya dapat bawa dari mula sampai habis.
“Saya bukanlah bagus sangat tapi sebab saya ada pengalaman 30 tahun menyanyi lagu balada yang pelbagai pembawaan jiwa,” kongsinya.
Hayati Perasaan Ibu
Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui karya berjudul Sesal itu membuatkan dirinya menghayati perasaan seorang ibu dengan lebih mendalam.
“Ini salah satu daripada lagu balada yang tak asing bagi saya. Ia tentang sesal dan dendam.
“Saya pernah menyanyi lagu OST untuk filem sebelum ini cuma untuk Sesal ini saya hayati rasa seorang ibu yang anaknya dah hilang dan tiada depan mata, dengan rasa sesal.
“Selepas saya bergelar ibu, saya rasa saya lebih menghayati perasaan dan emosi sedih dan ditambah pula dengan jalan cerita Telaga Suriram,” kongsinya.
Mengangkat tema penderitaan seorang ibu kehilangan anak perempuan secara misteri, Sesal menyelami perasaan mendalam sarat dengan kerinduan, kesedihan dan rasa putus asa.
Lagu Sesal boleh didengari di semua platform penstriman digital kegemaran manakala video muzik boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.
Must-Watch Video