HIBURAN
Sheqal Ditidurkan, Tahap Oksigen Menurun Akibat Jangkitan Paru-Paru
Penyanyi yang terkenal dengan lagu berentak nusantara, Sheqal, dikhabarkan telah ditidurkan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan sejak Khamis akibat mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.
Isterinya, Normah Mohd Yusoff, 58, berkata Sheqal dikejarkan ke hospital selepas tahap oksigen dalam badannya menurun sehingga 62 peratus.
Disebabkan itu, doktor membuat keputusan untuk menidurkannya bagi membolehkan rawatan lanjut dijalankan.
“Suami saya dimasukkan ke hospital pada petang Khamis. Saya hubungi ambulans dan bila diperiksa, oksigennya menurun disebabkan itu dia dibawa terus ke hospital.
“Pernafasannya tak stabil dan doktor nasihatkan dia ditidurkan kerana ada jangkitan kuman di paru-paru dan juga paru-paru berair,” katanya.
Dalam pada itu, Normah memaklumkan bahawa keadaan terkini Sheqal sudah bertambah baik namun penyanyi berkenaan masih belum sedarkan diri.
“Air sudah dibuangkan dan kemudian doktor nak pantau penyakit lain kerana kemungkinan ada lain yang perlu diperiksa. Malam tadi saya difahamkan doktor sudah buat CT Scan.
“Setakat pagi ini (Sabtu) masih lagi ditidurkan.
Doktor pun tak pasti bila nak disedarkan. Tapi Alhamdulillah semalam oksigen sudah naik dan dia masih dalam pemantauan,” ujarnya.
Untuk rekod, Sheqal atau Shahrin Salehuddin, 59, sebelum ini berdepan dengan masalah kesihatan termasuk diserang angin ahmar sebanyak empat kali sejak 2020.
Penyanyi lagu Cinta Nusantara ini turut menghidap penyakit buah pinggang tahap empat dan kini menggunakan kerusi roda.
Sumber: Utusan
Must-Watch Video