HIBURAN
Sertai Sing! Asia, Amsyar Lee; "Cabaran Terbesar Saya Menyanyikan Lagu Bahasa Mandarin, Tambah Pula Semuanya Berat & Penuh Emosi"
Bersaing dengan peserta berpengalaman dari pelbagai latar belakang menjadi antara pengalaman berharga buat penyanyi, Amsyar Lee, yang kini menyertai pertandingan Sing! Asia.
Mewakili Malaysia, Amsyar perlu berentap dengan puluhan peserta dari negara seperti China, Jepun, Vietnam, Singapura, Thailand dan beberapa negara lain.
Menariknya, pertandingan ini tampil dengan cabaran format berbeza setiap minggu, termasuk menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Mandarin.
“Saya gembira menerima maklum balas peminat yang pertama kali menonton episod pertama Sing! Asia minggu lalu. Ada banyak cabaran yang dilalui dan dalam masa yang sama membentuk banyak pengalaman baharu.
“Saya anggap ini merupakan permulaan yang baik buat kerjaya seni pada tahun ini walaupun terpaksa bersaing dengan peserta dari negara lain,” kata Amsyar.
Sing! Asia merupakan sebuah program pertandingan nyanyian baharu yang ditayangkan di platform penstriman iQIYI, menghimpunkan penyanyi-penyanyi berpengalaman dari seluruh Asia bagi merebut kejuaraan.
.jpg)
Sejak ditawarkan untuk mewakili Malaysia, Amsyar akui teruja dan dalam masa yang sama mahu mencabar diri untuk tampil di pentas antarabangsa. Peluang yang diberi tidak disia-siakan dan digunakan sepenuhnya untuk menonjolkan bakat serta memperkenalkan suara Malaysia kepada dunia.
Meskipun rancangan ini baru sahaja mula ditayangkan, rakaman awal telah dijalankan sejak Februari lalu di beberapa lokasi termasuk China, Jepun dan Hong Kong.
“Cabaran paling besar bagi saya adalah kena nyanyi lagu dalam bahasa Mandarin. Itu bukan bahasa yang saya kuasai, jadi dari segi sebutan, emosi dan penyampaian, semua itu perlukan usaha yang lebih.
“Tambah pula lagu-lagu yang saya bawa semuanya berat dan penuh emosi. Tapi sebenarnya, cabaran sebenar bukan berlawan dengan peserta lain. Cabaran sebenar saya adalah diri sendiri.
“Saya ada stage fright dan anxiety, rasa takut yang datang bila berdiri atas pentas depan ramai orang. Tapi saya cuba lawan semua tu sebab saya tahu, setiap langkah ke depan adalah satu kemenangan kecil buat diri saya,” katanya lagi.
Menariknya, episod pertama Sing! Asia yang disiarkan sejak 23 Mei lalu menerima respons positif daripada peminat.
Must-Watch Video