HIBURAN
Sering Dikaitkan Dengan Isu Penyalahgunaan Dadah, Yassin Senario Tak Kecil Hati - “Saya Akan Salahkan Diri Sendiri…”
Pelawak, Yassin Senario tidak berkecil hati apabila namanya sering dikaitkan dengan isu penyalahgunaan dadah meskipun tiada pengesahan atau bukti yang mengaitkannya secara sah.
Menurut Yassin, ini bukan kali pertama dirinya dikaitkan dengan dakwaan sedemikian, namun memilih untuk kekal positif dan tidak cepat melatah.
“Bukan sekali dua, saya pun ada pengalaman dulu, benda yang saya tak buat, tapi mereka… Saya tak boleh nak cakap, sekarang pula zaman netizen berhak bersuara.
“Nak kata kecil hati tu bagi saya perlu tapi saya kena fikir positif sebab saya tahu, biar orang nak cakap apa tapi perbuatan saya tidak sama dengan apa yang orang fikirkan,” katanya.
Yassin berkata demikian ketika ditemui di set penggambaran program No Filter musim kedua yang dihoskan oleh penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein.
Bagaimanapun kata Yassin, dia percaya bahawa masa yang akan membuktikan segalanya dan fitnah akan hilang dengan sendirinya.
“Lama-kelamaan benda ini akan hilang, soal kecil hati ini bagi saya sekejap sahaja sebab saya bukan orang lain.
“Kerja saya pula nak menghiburkan orang, saya tak boleh nak kecil hati sebab kerja saya menggembirakan orang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yassin juga mengakui segala pengalaman pahit yang dilalui sebelum ini banyak mendewasakan dirinya dan menjadikan dia lebih kuat untuk berdepan dengan dugaan hidup.
“Alhamdulillah dengan pengalaman itu jugalah yang mengajar saya. Tiada istilah kecil hati pun, saya akan salahkan diri saya.
“Apa-apa pun saya akan salahkan diri saya, saya tak akan kecil hati pada netizen sebab mereka berhak untuk berkata-kata.
“Nak cakap apa itu hak mereka, tak ada apa-apa masalah, yang penting saya tidak bercakap tentang hal mereka.
Untuk info, sejak akhir tahun lalu, ketiadaan Yassin dalam program melibatkan Senario sering menjadi tanda tanya peminat.
Apatah lagi sebelum ini media melaporkan penangkapan seorang pelawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada Oktober tahun lalu kerana memiliki ganja.
Ramai mengaitkan pelawak ditahan itu adalah Yassin namun anggota Senario sendiri memilih mengunci mulut mengenai berita itu.
Pelawak tersebut dilaporkan perlu menjalani hukuman penjara selama enam bulan di Arab Saudi dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada April lalu.
Yassin kemudiannya tiba dari Jeddah ke Malaysia selepas dibebaskan dari pusat tahanan warga asing.
Saksikan No Filter musim kedua, setiap Rabu, jam 8 malam di platform Gempak, In Demand dan sooka.
Must-Watch Video