Berita
“Seorang Sahabat & Pejuang Bersama" - Tun Mahathir Kenang Pemergian Tun Daim
Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa hiba atas pemergian rakan seperjuangannya, Tun Daim Zainuddin, yang bukan sahaja seorang sahabat tetapi juga pejuang ekonomi yang setia.
Dalam panggilan eksklusif bersama Astro AWANI, bekas Perdana Menteri itu berkata, kehilangan Daim bukan sekadar kehilangan seorang bekas Menteri Kewangan, tetapi insan yang telah memainkan peranan besar dalam perjalanan kerjayanya sebagai pemimpin negara.
“Daim bukan seorang ahli politik, malah tidak berminat menyertai kerajaan,” ujar Dr Mahathir.
“Namun, ketika saya memerlukan seorang Menteri Kewangan yang berwibawa, saya tidak ragu untuk memilihnya.
“Daim menggalas amanah itu dengan jujur walaupun bukan wakil rakyat.
“Beliau memberi sumbangan yang besar kepada negara dan memberikan banyak nasihat yang saya hargai,” katanya.
Dr Mahathir turut mengimbau kesediaan Allahyarham untuk berundur sebaik calon yang sesuai dikenal pasti, dan kesediaannya kembali menyumbang ketika negara memerlukan khidmatnya buat kali kedua.
“Dia bukan sahaja kembali atas jemputan, tetapi rela berhenti bila masanya tiba.
“Dia bukan orang yang mengejar kedudukan atau kekayaan dalam negara, malah berusaha membina perniagaan di luar negara.
“Keuntungan yang diperoleh di luar negara itu turut dibawa pulang ke tanah air, seperti yang kita harapkan dari mereka yang berjaya di luar sana,” ujar beliau.
Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh yang jarang ditemui, seorang anak Melayu yang berjaya dalam bidang perniagaan dari awal, dan setia menyumbang kepada bangsa dan negara.
BERITA TRENDING: Laris Teruk! Baju Merchandise Fattah Amin ‘Sold Out’ Dalam Masa Dua Minit
BERITA TRENDING: Ratu Cantik Jepun, Yuumi Kato Ziarah Ebby Yus
BERITA TRENDING: Wujud Diskriminasi Terhadap Artis Veteran, Anne Abdullah Mohon Produksi Beri Bayaran Setimpal Dengan Pengalaman - “Mereka Pernah Popular Tanpa…”
BERITA TRENDING: 5 Tahun Berehat, Izara Aishah Dedah Bakal Bintangi Drama Bersama Fattah Amin - “Sedikit Risau Nak…”
Beliau berharap agar jasa dan sumbangan Allahyarham dihargai dan agar masyarakat tidak mudah menilai seseorang hanya berdasarkan kekayaan yang dimilikinya.
“Saya berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman di akhirat kelak,” katanya.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video