HIBURAN
“Sebak Bila Ramai Ucap Dan ...” - Rai Hari Jadi Ke-21, Zarif Ghazzi Terharu Terima Banyak Ucapan Peminat
Pelakon muda yang semakin mencuri perhatian, Zarif Ghazzi, menzahirkan rasa syukur dan terharu apabila menerima sambutan hangat serta kata-kata sokongan sempena ulang tahunnya yang ke-21 pada 4 Jun 2025.
Meskipun sibuk di lokasi penggambaran selama sebulan di Perlis bersama pelakon wanita, Bella Dowanna Halim, Zarif tetap meluangkan masa untuk menghargai setiap mesej dan ucapan yang diterima.
"Sejujurnya, ini kali pertama saya mendapat sambutan seperti ini di media sosial dan juga di set penggambaran. Sebak saya apabila ramai yang memberi ucapan bersama kata-kata yang menyokong saya dalam karier sebagai seorang pelakon," ulasnya.
Bintang yang mula dikenali menerusi bakat lakonannya itu mengakui perjalanan dalam industri seni baru sahaja bermula dan masih banyak yang perlu dipelajari.
Zarif turut berterima kasih atas sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk peminat dan rakan industri.
"Saya berterima kasih atas rezeki ini kerana baru 2 tahun lebih dalam industri hiburan ini dan saya sedar, masih banyak yang perlu saya belajar. Kata-kata sokongan dari ramai kawan industri serta peminat membuatkan saya ingin memberikan sebaiknya dalam setiap karya yang diamanahkan," katanya.
Must-Watch Video