HIBURAN
"Lagu Dari AI Emosinya Kosong" - Kmy Kmo
Penyanyi rap dan komposer, Kmy Kmo tampil menyuarakan pandangannya mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan lagu.
Menurutnya, karya yang dilahirkan melalui teknologi tersebut tidak mampu menyentuh hati pendengar kerana ia tidak lahir daripada jiwa manusia.
“Aku bukan tak nak bantu share lagu-lagu AI, tapi telinga aku ni tak boleh dengar karya yang lahir bukan dari jiwa. Buat lagu sedih ke lagu apa sekalipun, kalau ianya dihasilkan dari AI emosi untuk lagu tu hanya kosong,” tulisnya.
Tambahnya, keadaan menjadi lebih menyedihkan apabila isu semasa turut ditunggang untuk kepentingan diri dengan menggunakan AI.
Dalam satu ruang diskusi bersama netizen, Kmy menegaskan bahawa proses kreatif yang sebenar adalah keberanian bereksperimen dengan akal fikiran dan imaginasi sendiri, bukan hanya sekadar bergantung kepada teknologi.
“At least kami berani eksperimentasi guna akal fikiran sendiri dari sekeping kertas kosong dan bukan jenis order lagu di AI dan claim penulis/komposer/producer. Maaf bang, mungkin lagu tu tak sesuai untuk citarasa awak,” jawabnya kepada seorang pengikut.
Perkara itu turut dibincangkan oleh beberapa penggiat muzik lain. Seorang pengguna, @afqmusicbahn1, menjelaskan bahawa lagu daripada jiwa mampu dirasai walaupun menggunakan autotune, kerana ia tetap lahir daripada ekspresi manusia.
“Cara paling senang nak bezakan ialah dari lontaran nada suara & sebutan yg berbunyi seakan-akan dinyanyikan oleh robot dan ditukar kepada suara si penyanyi. Klw yg berkarya guna jiwa, walaupun ada autotune, kita pasti dapat rasakan itu hasil ciptaan manusia,” jelasnya.
Ada juga yang bertanya pandangan Kmy tentang lagu yang pada asalnya dihasilkan AI yang kemudiannya diolah semula dengan vokal manusia dan live instrument.
“Kalau yang tulis lirik secara penuh itu seorang manusia, rasanya tak jadi masalah. Sebab penulisan masa menulis lagu ni yang menghidupkan lagu adalah penghayatan dan emosi yang dicurahkan dari visual yang dibayang. Bukan dari ‘order’ kepada robot.
"Muzik AI yang digubah semula mungkin boleh diterima walaupun ada instrument yang perlu main ‘by heart’ untuk sentuh emosi pendengar, tapi lirik saya rasa lebih bagus kalau manusia yang tulis sendiri,” tegas Kmy.
Must-Watch Video