Hiburan
Sean Lee Akui Pelakon Berbangsa Cina Sukar Dapat Tawaran Berlakon - “Saya Tidak Menyalahkan Sesiapa Cuma…”
Pengacara, Sean Lee, mengakui bukan mudah untuk mendapatkan tawaran dalam dunia lakonan disebabkan tidak banyak memberi ruang dan peluang watak diberikan kepada pelakon berbangsa Cina.
Tidak menyalahkan sesiapa, aktor berbangsa Cina itu menyedari realiti karya-karya yang dihasilkan dalam industri ini lebih cenderung mengutamakan dengan watak yang berkaitan dengan budaya atau bangsa Melayu.
“Begini, maksud saya agak sukar juga sebab saya sentiasa menginginkan dunia lakonan sebagai keutamaan saya, cuma saya tidak tahu. Ia sudah ditentukan.
“Cerita yang ditulis dalam bidang lakonan ini bukan semua watak perlu ditujukan kepada lelaki berbangsa Cina kerana ini adalah industri Melayu. Saya tidak menyalahkan sesiapa, cuma itulah yang berlaku,” katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun, dengan adanya perkembangan siri originals yang memaparkan penglibatan pelakon dari pelbagai bangsa, Sean menganggap ia salah satu langkah positif buat masa kini.
“Namun, dengan perkembangan seperti Astro Originals dan sebagainya, saya rasa ada kemungkinan untuk pelakon pelbagai kaum terlibat dalam sesebuah rancangan, dan saya rasa kita patut bergerak ke arah itu.
“Sebab kalau asyik berpusing pada tema cinta lelaki kaya dan perempuan miskin, di mana tempat untuk lelaki Cina dalam cerita sebegitu?” luahnya.
Pada masa sama, Sean juga mengakui antara cabaran dan kekangan yang dihadapinya dalam industri lakonan di Malaysia adalah apabila melibatkan sensitiviti agama dan budaya.
Dia juga berpandangan dia tidak mempunyai masalah untuk membawa watak tersebut, tetapi pihak produksi sering bimbang akan reaksi negatif netizen terhadap drama tersebut jika dirinya, yang bukan beragama Islam, membawa watak Muslim.
“Dalam dunia lakonan di Malaysia juga terdapat banyak kekangan. Sebagai contoh, ada perkara tertentu yang saya tidak boleh sebut walaupun dalam lakonan.
“Contohnya, jika saya melakonkan watak seorang Muslim, mungkin ia tidak melanggar undang-undang, tetapi pihak produksi takut nanti netizen akan berkata sesuatu kalau saya, yang bukan Muslim, menyebut perkara tertentu dalam drama itu.
“Bagi saya, lakonan adalah pekerjaan. Saya boleh membezakan antara kehidupan peribadi dan pekerjaan saya,” jelasnya.
BERITA BERKAITAN: Apa yang Sean Lee nervous sangat tu? | What's In Your...
BERITA BERKAITAN: Sempoi! Sean Lee Bawa Makan Durian Sambut Birthday Isteri – “Thank You Sebab Hadir Dalam Hidupku”
BERITA BERKAITAN: Sean Lee Tiba-Tiba Kahwin! Cincin Hilang Sebelum Melamar? Ini Kisah Cinta… | Motif Trending
BERITA BERKAITAN: ilih Untuk ‘Low-Key’, Sean Lee Tak Mahu Komen Orang Sekeliling Beri Impak Hubungan Cinta Bersama Bay Doucet
Must-Watch Video