Hiburan
“Saya Tertekan…Kena Menyanyi, Bersilat & Yang Paling Teruk, Kena Menari!” – Janna Nick
Pelakon popular Janna Nick akui tertekan apabila dipaksa menari untuk menjayakan pementasan teater ‘Malayu-Pawana Isabella’, arahan Erma Fatima.
Janna berkata, selain menari dia juga terpaksa menyanyi dan bersilat serta menghafal skrip yang ditulis menggunakan Bahasa Melayu Klasik.
“Bab menyanyi tu okay, tetapi bersilat dan menari saya paling tak suka nak buat! Jujur saya bagitahu ni, saya tertekan.
“Nak menghafal skrip lagi satu hal…Bukan skrip biasa-biasa tetapi dalam Bahasa Melayu Klasik tau. Serius cakap berlakon dalam teater ‘Malayu-Pawana Isabella’ ini memang mencabar betul.
“Kalau Johan Raja Lawak pun dah tak lawak dalam teater ni…Haa..macam mana? Kami juga tak boleh ‘adlip’ atau olah dialog sendiri,” katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun kata Janna, cabaran tersebut disahut untuk membuktikan kepada Erma yang dia mampu melakukan yang terbaik.
Tambahan lagi, dia sudah lama memasang impian mahu bekerjasama dengan Erma Fatima.
“Saya memang sudah lama pasang impian untuk bekerjasama dengan Kak Erma dan akhirnya ia kesampaian menerusi teater ini.
“Selain tertarik dengan naskhahnya yang menarik, saya juga terima tawaran Kak Erma kerana pementasan ini menampilkan barisan pelakon hebat dan nama besar dalam dunia lakonan,” katanya.
Janna ditemui pada sidang media pementasan Teater Malayu-Pawana Isabella yang berlangsung di Istana Budaya, baru-baru ini.
Ini kali kedua Janna berlakon dalam pementasan teater selepas pementasan Teater Zombi La La sebelum ini.
Menerusi teater Pawana Isabella, Janna akan membawa watak sebagai Permaisuri Isabella yang merupakan isteri kepada pelakon popular, Syafiq Kyle.
“Walaupun ini gandingan pertama kami di pentas teater, tapi kami pernah bekerjasama dalam drama bersiri ‘Bukan Cinta Aku’ sebelum ini.
“Jadi tak ada masalah untuk mencari keserasian,” katanya.
Tambah Janna untuk menjayakan teater ini, dia tidak menerima sebarang komitmen lain kerana mahu memberi fokus sepenuhnya kepada Pawana Isabella.
“Saya perlu banyak berehat dan nak fokus pada teater ini selama sebulan dan tidak mengambil tawaran lain.
“Jadi buat masa ini hidup saya hanya untuk Pawana Isabella,” katanya ketawa.
Teater Malayu-Pawana Isabella bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 21 Ogos hingga 31 Ogos ini.
Teater arahan Erma Fatima itu turut menampilkan membariskan ramai bintang hebat antaranya Azar Azmi, Johan Raja Lawak, Ozlynn Waty, Datuk Afdlin Shauki, Datin Paduka Umie Aida, Datuk Ziela Jalil, Shahronizam, Jay Iswazir dan Anas Ridzuan.
Tiket boleh dibeli di kaunter Box-Office Istana Budaya dengan harga RM48 hingga RM188.
Must-Watch Video