HIBURAN
"Saya Tak Tunggu Jadi YB Untuk Turun Padang" - Afdlin Shauki
Figura seni tanah air, Datuk Afdlin Shauki, yang cukup sinonim dengan dunia hiburan menerusi karya-karya arahan, lakonan serta lawak jenaka penuh makna, kini melangkah ke satu fasa baharu dalam perjuangannya dengan menyertai dunia politik dengan misi yang jelas untuk berkhidmat secara lebih terancang kepada masyarakat.
.jpg)
Afdlin sudah bertahun-tahun aktif dalam kerja-kerja kemanusiaan menerusi Yayasan Afdlin Shauki (YAS).
Dari misi bantuan ke Syria, hingga ke program pengagihan makanan dan bantuan petrol percuma kepada penunggang motosikal berpendapatan rendah, Afdlin membuktikan bahawa keprihatinan beliau bukan retorik, tetapi tindakan.
“Saya tidak menunggu untuk bergelar YB baru hendak turun padang. Saya sudah lama bersama rakyat dan kini saya hanya mahu meluaskan lagi khidmat saya secara lebih sistematik,” ujarnya.
Dengan semangat itu, Afdlin mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Setiawangsa dalam pemilihan parti yang akan datang.
Baginya, jawatan ini bukan platform untuk populariti atau kepentingan peribadi, sebaliknya satu amanah untuk menstrukturkan semula peranan cabang parti agar benar-benar menjadi pusat pembelaan rakyat.
Afdlin memperkenalkan prinsip “Mesra Setiawangsa”, sebuah pendekatan inklusif yang menekankan kehadiran pemimpin dalam kehidupan masyarakat yang bukan hanya melalui dasar, tetapi melalui tindakan nyata yang menyantuni semua golongan tanpa mengira latar belakang.
“Pemimpin harus ada bukan hanya ketika undi diperlukan, tetapi sewaktu rakyat benar-benar memerlukan,” tegas beliau.
.jpg)
Afdlin membawa rekod kerja lapangan yang konsisten serta visi yang menyeluruh termasuk pemerkasaan anak muda, wanita, warga emas dan komuniti OKU melalui kerjasama strategik bersama NGO dan institusi pendidikan.
Bagi Afdlin, cabang parti harus menjadi nadi pembangunan sosial, dan bukannya sekadar struktur pentadbiran.
Afdlin juga percaya bahawa rakyat kini lebih celik dan tidak mudah terpedaya dengan retorik politik semata-mata. Oleh itu, nilai integriti, ketelusan dan kerja berpasukan perlu menjadi asas utama dalam setiap kepimpinan.
“Saya tidak datang untuk bersaing atau menjatuhkan sesiapa. Saya datang menawarkan pilihan yang berpengalaman, bersedia, dan benar-benar komited untuk berkhidmat.
"Ini bukan soal siapa paling popular, tetapi siapa paling bersedia untuk memimpin dengan jiwa dan amanah. Saya hanya mahu terus berbakti, kali ini, dengan mandat yang lebih tersusun," tambahnya.
Must-Watch Video