HIBURAN
“Saya Tak Buka Hati Lagi Kepada Mana-Mana Lelaki…” – Adira Suhaimi
Penyanyi, Adira Suhaimi menegaskan bahawa dirinya masih belum bersedia untuk membuka hati kepada mana-mana lelaki selepas melalui episod rumah tangga yang berakhir dengan penceraian tahun lalu.
Adira, 33, berkata, buat masa ini fokus utamanya adalah untuk membesarkan anak-anak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang sepenuhnya daripada seorang ibu.
“Secara jujurnya, saya tidak membuka lagi hati kepada mana-mana lelaki. Anak-anak saya masih kecil, jadi mereka perlukan perhatian lebih.
Perkara lain saya tolak ke tepi dulu,” katanya ditemui pada majlis sidang media Konsert MeleTOP TVS di Astro, Bukit Jalil.
Adira juga menjelaskan bahawa keutamaannya kini ialah menjaga hubungan baik dengan bekas suami, Datuk Red, demi kebajikan anak-anak.
Namun, dia menafikan sebarang spekulasi kononnya mereka akan rujuk semula.
“Orang salah faham bila saya ditanya ada berita baik atau tidak, saya cuma cakap buat masa sekarang memang tiada. Itu sahaja.
Seperti yang diketahui, abang Red ada masalah dia sendiri yang perlu diselesaikan. Kita doakan semoga dia dapat selesaikan dengan baik.”
Menurut Adira, dia tidak mahu terlalu memberi harapan atau kenyataan yang mengundang spekulasi.
Baginya, apa yang lebih penting adalah memastikan hubungan kekal harmoni demi membesarkan anak-anak secara bersama.
Red dan Adira bernikah di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015, namun bercerai pada 24 April tahun lalu selepas lapan tahun hidup bersama.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 8, Asan, 7, Anggun, 6, dan Ayob kini berusia tiga tahun serta dalam jagaan Adira.
Sebelum ini, Red dan Adira juga pernah memberi bayangan mereka 'bercinta semula' selepas beberapa bulan bercerai serta bersyukur masih diberikan peluang kedua.
Must-Watch Video