BERITA
42 Guru Wanita Minta Cerai Selepas Terima Pelantikan Tetap
Seramai 42 penjawat awam wanita di bawah skim Pegawai Pemerintah dengan Perjanjian Kerja (PPPK) di daerah Cianjur, Jawa Barat, dilaporkan telah mengemukakan tuntutan cerai terhadap suami masing-masing selepas menerima surat pelantikan rasmi sebagai penjawat awam.
Menurut laporan portal WartaKotalive.com, fenomena ini menarik perhatian masyarakat, khususnya dalam sektor pendidikan kerana sebahagian besar daripada wanita yang terlibat merupakan guru sekolah rendah.
Daripada kira-kira 3,000 guru yang menerima Surat Keputusan (SK) pelantikan PPPK pada tahun ini, 30 wanita telah memfailkan cerai di mahkamah, manakala 12 kes lagi masih berada dalam proses akhir perundangan.
Ketua Pejabat Belia, Sukan dan Pendidikan (Disdikpora) Cianjur, Ruhli memaklumkan bahawa sebahagian besar tuntutan cerai ini datang daripada pihak perempuan.
“Majoriti yang memfailkan perceraian adalah wanita,” katanya baru-baru ini.
Ruhli menjelaskan, pelantikan sebagai penjawat awam tetap telah memberikan kebebasan kewangan kepada ramai wanita yang sebelum ini berkhidmat secara kontrak atau bergantung kepada pendapatan suami semata-mata.
“Faktor utama adalah berkaitan ekonomi. Setelah mereka memiliki pendapatan tetap dan lebih stabil melalui PPPK, mereka berani membuat keputusan untuk berpisah,” jelasnya.
Fenomena serupa turut dilaporkan berlaku di Kabupaten Blitar, Jawa Timur, apabila Pejabat Pendidikan Blitar mencatat sekurang-kurangnya 20 guru wanita memfailkan cerai dalam beberapa bulan terakhir, meningkat ketara berbanding 15 kes sepanjang tahun 2024.
Ketua Bahagian Pengurusan Sekolah Rendah Blitar, Deny Setyawan mengesahkan peningkatan itu dan mengaitkannya dengan status baharu para guru terbabit sebagai penjawat awam PPPK.
“Lonjakan ini berkait rapat dengan perubahan status pekerjaan mereka daripada guru kontrak kepada pegawai tetap PPPK,” katanya.
Menurut Deny, dengan kestabilan ekonomi yang lebih baik, mereka berasa lebih yakin untuk membuat keputusan besar dalam kehidupan rumah tangga.
“Meski alasan yang dinyatakan biasanya ‘tidak sefahaman’, namun pengukuhan kedudukan ekonomi jelas menjadi latar belakang utama,” ujarnya.
Deny turut menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang sebarang tindakan cerai oleh guru yang bernaung di bawah PPPK.
“Itu adalah hak peribadi seseorang dalam institusi perkahwinan. Tanggungjawab kami hanyalah memastikan segala proses perundangan dan tatacara perkhidmatan awam dipatuhi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video