HIBURAN
"Saya Tak Buat Untuk Bersaing Dengan Sesiapa" - Bella Astillah Lancar Lagu 'Lebih Indah Berpisah', Kolaborasi Dengan Ade Govinda
Selepas kejayaan single terdahulu, penyanyi dan pelakon popular Bella Astillah kembali dengan karya terbaru yang cukup menyentuh jiwa berjudul “Lebih Indah Berpisah”.
Lagu ini merupakan hasil kolaborasi istimewa bersama komposer dan pemuzik tersohor dari Indonesia, Ade Govinda.
Ditulis dan diterbitkan sendiri oleh Ade Govinda, “Lebih Indah Berpisah” mengangkat tema kekuatan dan keberanian untuk melepaskan cinta yang tidak lagi dihargai, demi membuka ruang kepada kehidupan yang lebih tenang dan bermakna.
agu ini bukan sekadar melodi pilu, tetapi hadir sebagai satu peringatan bahawa berpisah bukanlah satu kegagalan.
“Bermula dengan cadangan tajuk yang asalnya berbeza, akhirnya kami sepakat memilih perkataan ‘indah’ sebagai inti judul kerana saya percaya dalam setiap perpisahan, ada sisi positif yang menanti,” kata Bella.
Menurut Bella, proses pembikinan lagu ini adalah satu pengalaman yang sangat berharga buat dirinya. Sepanjang sesi rakaman, beliau merasai suasana yang penuh sokongan dan profesionalisme daripada pasukan produksi Ade Govinda.
“Mereka hormat semua orang, tak kira siapa kita. Semangat itu buat saya lebih yakin dan bersemangat untuk beri yang terbaik,” katanya.
Bella turut berharap lagu ini akan menjadi peneman dan sumber kekuatan buat sesiapa yang sedang berhadapan dengan kesedihan atau fasa sukar dalam percintaan mereka.
“Saya tak buat lagu ini untuk bersaing dengan sesiapa. Ini untuk diri saya sendiri – sebagai ruang untuk saya membaiki mutu nyanyian dan berkembang sebagai artis. Saya harap lagu ini dapat menyentuh hati pendengar, bukan saja di Malaysia, tetapi juga di Indonesia," ujarnya.
Bagi Ade Govinda, “Lebih Indah Berpisah” adalah lebih daripada sekadar karya muzik. Ia adalah luahan jiwa tentang keberanian untuk melepaskan, ketika cinta yang diberikan tidak lagi dihargai.
“Berpisah bukan erti kalah. Kadangkala, itu adalah satu-satunya jalan untuk kembali sayang pada diri sendiri. Lagu ini adalah penghormatan kepada mereka yang memilih untuk tidak terus berjuang seorang diri dalam hubungan yang tidak seimbang.”
Ade turut meluahkan rasa kagumnya terhadap dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan Bella sepanjang proses kolaborasi ini.
“Bella bukan hanya profesional dalam nyanyian, tapi juga dalam penggambaran video muzik. Jarang saya jumpa artis muda dengan ketabahan dan kesungguhan seperti dia. Bella memang luar biasa.”
“Lebih Indah Berpisah” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama. Video muzik rasmi juga telah dilancarkan di saluran YouTube rasmi Bella Astillah dan Ade Govinda.
Dengan lirik penuh makna, vokal menyentuh dan susunan muzik yang emosional, lagu ini dijangka menjadi antara balada yang akan mendapat tempat di hati peminat muzik serantau.
Must-Watch Video