HIBURAN
Jet Li Selamat Jalani Pembedahan Tumor Jinak Kecil
Pesohor Jet Li dilaporkan selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan yang dikenali sebagai tumor jinak kecil dan masih berada peringkat awal, baru-baru ini.
Tumor jinak kecil yang juga dikenali sebagai tumor benigna merujuk kepada ketumbuhan yang tidak bersifat kanser dan tidak merebak ke bahagian badan lain.
Khabar mengenai aktor yang terkenal dengan aksi lasak itu menghidap tumor disampaikan oleh rakan baiknya, penerbit filem Hong Kong, Tiffany Chen selepas Jet Li sebelumnya berkongsi foto dirinya terbaring di atas katil hospital.
Menerusi foto yang dikongsikan, bintang berusia 62 tahun itu dilihat terbaring di atas katil dengan mata terpejam dan dalam pantauan detak jantung serta tahap oksigen di sebuah hospital.
Jet Li bagaimanapun tidak memaklumkan jenis penyakit yang dihidapi sebaliknya menulis kapsyen bersifat lucu pada foto tersebut.
“Sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Saya menghadapi masalah dengan ‘barangan’ saya.
“Jadi saya menghantarnya ke ‘kilang’ untuk diperbaiki. Jangan risau sangat tentang saya,” tulisnya seperti dilaporkan CNA.
Malah Jet li selepas itu menulis: “Saya minta maaf kepada semua kerana mungkin membuat anda risau.
“Saya telah keluar daripada ‘kilang’ dan sedang makan. Saya berasa lebih sihat sekarang. Tolong sampaikan kepada yang lain, saya sihat,” ujarnya lagi.
Pada tahun 2010, Jet Li pernah memaklumkan dirinya menghidapi masalah Hipertiroidisme yang menyebabkan kehilangan berat badan. Beliau juga merawat diri dengan mengambil ubat mengikut saranan doktor.
Must-Watch Video