HIBURAN
“Saya Reda, Asalkan Anak-Anak Bahagia” – Aliff Aziz Ulas Hubungan Rapat Bella Astillah & Syed Saddiq
“Saya reda dan doakan yang terbaik buat mereka.”
Itu reaksi penyanyi dan pelakon dari Singapura, Aliff Aziz apabila diminta mengulas mengenai hubungan rapat antara bekas isterinya, Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menjadi bualan hangat netizen sejak kebelakangan ini.
Mengakui enggan memanjangkan kisah silam, Aliff, 34, menyatakan dia kini memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan diri dan perjalanan hidupnya sendiri.
“Jika itu adalah kebahagiaan buat mereka, saya reda dan mendoakan yang terbaik untuk kedua-duanya,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Berita Minggu (BM) Singapura baru-baru ini.
Malah, bekas juara Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) itu turut menzahirkan rasa syukur kerana dua anaknya, Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna, 5, kini berada dalam jagaan yang menyayangi mereka.
“Ayden dan Ara dikerumuni orang-orang yang sayang mereka, insya-Allah. Itu yang pertama saya fikir. Siapa pun di sekeliling mereka, asalkan mereka disayangi dan dilayan dengan baik… Itu sudah memadai,” ujarnya.
Rindu anak, sebak tengok video
Berkongsi mengenai kehidupannya selepas bercerai dengan Bella pada 13 Jun lalu, Aliff tidak berselindung meluahkan kerinduan yang mendalam terhadap anak-anaknya yang dikatakan terputus hubungan dengannya sejak tahun lalu.Katanya, beliau masih belum berpeluang bertemu mahupun berhubung secara langsung dengan Ayden dan Ara, malah kerap sebak hingga tidak mampu menghabiskan tontonan video mereka.
“Saya rindu sangat. Doa saya setiap hari adalah untuk dapat lihat mereka semula dan sampaikan segala yang saya simpan dalam hati.
“Daddy sentiasa ingat dan mendoakan Ayden dan Ara… I love you so much and I miss you,” katanya dengan nada sebak.
Tambahnya, meskipun jauh, beliau tetap mengikuti perkembangan anak-anak terutamanya apabila tiba ulang tahun kelahiran mereka pada 8 dan 18 Julai.
Aliff turut menyuarakan kekhuatiran mengenai persepsi masyarakat terhadap dirinya dan bagaimana penerimaan anak-anak kelak apabila mereka membesar dan membaca semula kisah yang pernah dilaporkan media.
Pilih berdiam diri, jaga hati keluarga
Menurut pelakon Dia Semanis Honey itu, beliau sering berdepan dilema sama ada kekal berdiam diri demi menjaga sensitiviti keluarga atau mempertahankan diri melalui saluran undang-undang.“Kadang-kadang saya nak cerita semuanya. Tapi bila fikirkan kesan terhadap anak-anak dan keluarga, saya jadi serba salah,” katanya.
Jelas Aliff, bukan mudah untuk melalui tekanan akibat naratif media dan tanggapan awam terhadap kehidupan peribadinya, namun beliau memilih untuk fokus kepada pembaikan diri dan tidak lagi mempedulikan perkara sensasi.
Dalam masa sama, beliau turut menghargai pengorbanan ibunya yang tetap berdiri teguh mempertahankannya walaupun turut menanggung tempias isu peribadi yang melanda.
“Saya bertekad untuk bangkit semula dan menjadi insan yang boleh dibanggakan oleh keluarga saya,” katanya.
Untuk rekod, Aliff dan pelakon Ruhainies masing-masing dikenakan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pada Februari lalu selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat pada Mac 2024.
Gempak difahamkan, usaha pihak BM Singapura untuk mendapatkan maklum balas daripada Bella mengenai kenyataan Aliff tidak berjaya apabila selebriti wanita itu tidak memberikan sebarang respons.
Sumber: BH Singapura
Must-Watch Video