HIBURAN
“Saya Rasa ‘Saya Masih Boleh Hidup, Buat Apa Nak Fikir Mati?” – Kieran
Bekas penyampai radio popular, Maskiran Jakiran atau lebih dikenali sebagai Kieran, berkongsi keadaan terkini dirinya selepas menjalani rawatan kanser prostat tahap tiga.
Menurut Kieran, dia mengakui tahap kesihatannya bertambah baik selepas menjalani pembedahan dan rawatan kemoterapi.
“Ada yang bertanya saya okay atau tidak, biasalah. Orang cakap alah bisa tegal biasa. Dekat luar saya buat macam biasa saja. Macam okay.
“Saya ada keluarga seperti ibu dan anak-anak yang sentiasa doakan saya. Setiap hari saya lihat anak tidur saya fikir saya harus kuat.
“Makan juga tiada masalah, Alhamdulillah,” katanya kepada Gempak.
Kieran ditemui pada majlis sambutan Terbaek Raya mStar di The Agam, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Biarpun kembali pulih, Kieran turut berkongsi kesan sampingan daripada rawatan kemoterapi yang dijalaninya.
“Kesan kemoterapi itu buat tangan saya masih bengkak sampai sekarang. Kalau pegang barang dalam tempoh lama tak boleh.
“Kaki juga kalau bangun pagi tak boleh buka, bangun perlu pegang katil dahulu. Duduk lama kalau bangun terus rasa nak pitam.
“Namun syukur saya dapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), respon ubat itu sangat baik,” kongsinya.
Tambah Kieran, semangat untuk melawan penyakit itu datang daripada doa keluarga, terutama anak-anak dan ibunya yang tidak putus berdoa.
“Emosi saya tidak seteruk tahun lepas, ketika itu saya tak tahu nak buat apa, hanya fikir anak dan ibu saya.
“Tapi bila semakin pulih ini saya sangat bermotivasi, saya rasa ‘saya masih boleh hidup, buat apa nak fikir mati?’.
“Saya kena kuat dan lawan, buat macam tak sakit jadi orang tak nampak saya sakit, layankan saja,” ujarnya.
Terdahulu, Kieran antara enam penerima mStar Baek pada musim ketiga dalam acara pemberian sumbangan, semalam.
Turut menerima sumbangan, Fendy Caliph Busker yang membesarkan anaknya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan sepertinya dan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan yang kini menderita akibat tulang kaki membengkok.
Selain itu, atlet Nurul Shakina Abdullah Teh yang kini menjadi penyanyi jalanan untuk membesarkan dua anak serta Mohammad Saad Habizal yang menghidap palsi serebrum (cerebral palsy) dan masalah tulang belakang bengkok.
Turut menerima sumbangan, pelakon Ebby Yus yang diuji pelbagai penyakit kronik termasuk masalah jantung dan kegagalan buah pinggang.
Must-Watch Video