Hiburan
"Saya Mahu Memperkasakan Golongan Remaja" - Ini Tujuan Jabir Meftah Sertai Hero Remaja 2020
Finalis Hero Remaja 2020, Jabir Meftah mahu menggunakan platform pertandingan itu sebagai satu langkah memperkasakan golongan remaja
di Malaysia.
Menurut Jabir, ramai golongan remaja yang mempunyai potensi besar untuk berjaya namun tidak menyedarinya.
"Penyertaan saya dalam Hero Remaja 2020 ini adalah untuk mulakan satu perubahan, saya mahu memperkasakan golongan remaja di negara kita.
"Pada pendapat saya, ramai golongan remaja yang mempunyai potensi besar untuk berjaya, namun ramai juga yang tidak menyedari perkara itu.
"Saya sedar akan pentingnya pengaruh yang ada dalam diri seseorang, jika saya dikurniakan perkara itu, saya mahu gunakannya untuk memberi kebaikan
kepada orang lain," ujarnya.
Jabir berkata demikian ketika ditemui di majlis pengumuman 12 finalis Hero Remaja 2020 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Selasa.
Tambah Jabir, dia akan berusaha sebaik mungkin untuk menggalas tanggungjawab dalam pertandingan itu.
"Kami seramai 12 orang sudah terpilih sebagai finalis, saya percaya semua orang akan diberi tanggungjawab yang besar.
"Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan nanti," ujarnya lagi.
Semua finalis Hero Remaja 2020 bakal berdepan dengan pelbagai cabaran untuk mengasah kebolehan masing-masing. Mereka juga akan diuji untuk berlakon, mengacara, menjadi model dan duta produk sebagai satu proses menentukan siapa yang bakal menyandang gelaran juara.
Scha Alyahya dan Datuk Hans Isaac telah diberi kepercayaan sebagai juri, manakala Aina Edruce menggalas tanggungjawab sebagai hos program tersebut.
Rakaman Hero Remaja 2020 akan bersiaran selama tujuh episod pada setiap Khamis jam 9.00 malam bermula 27 Februari ini secara eksklusif di Astro Ria (104) dan Ria HD (123)
Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ia turut boleh diakses menerusi perkhidmatan Astro Go dan on demand.
Must-Watch Video