Hiburan
“Saya Hanya Jalankan Tanggungjawab Sebagai Duta" - Isu Ops Sky, Datuk Jalaluddin Sedia Beri Kerjasama Dengan SPRM
Pelakon senior, Datuk Jalaluddin Hassan, bersedia memberikan kerjasama kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dipanggil berhubung siasatan kes rasuah melibatkan sebuah syarikat perunding kewangan.
Hanya jalankan kerja sebagai duta
Menurut Jalaluddin, 71, mengakui terkejut selepas dimaklumkan mengenai perkara tersebut kerana peranannya hanyalah sebangai duta yang mempromosikan syarikat yersebut.
“Saya hanya duta sahaja untuk hasilkan video dan mempromosikan syarikat itu. Itu sahaja tugas saya dan tidak lebih daripada itu. Bila isu ini timbul, saya agak terkejut.
“Pihak mereka berkata pada saya, kami sebagai duta tidak terkesan apa-apa. SPRM juga belum hubungi saya.
“Tetapi jika dihubungi untuk beri kerjasama, sudah tentu saya akan lakukannya. Tiada masalah, kami boleh bekerjasama. Setakat ini belum ada apa-apa lagi,” ujarnya.
Jalaluddin berkata demikian ketika ditemui pada sidang media jenama pakaian Bulan Bintang, bertempat di Kuala Lumpur Konvensyen Center pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: SPRM Siasat Pembabitan Selebriti Dibayar Hingga RM400,000 Jadi Duta Syarikat Perunding Kewangan
Sepanjang kerja tiada isu meragukan timbul
Jelas Jalaluddin lagi sepanjang bekerjasama dengan syarikat tersebut, tiada isu mencurigakan timbul.
“Saya agak terkejut sebab selama bekerjasama dengan mereka, semuanya baik-baik saja. Bila saya tanya bagaimana keadaan kewangan mereka dari dulu hingga kini, semuanya puas hati dan tiada yang mencurigakan.
“Sepanjang kami bekerjasama semuanya baik-baik sahaja, lebih-lebih lagi bila pertambahan ahli. Kewangannya juga terurus kerana kebanyakannya orang kita,” katanya.
Nafi dakwaan terima bayaran hingga RM400,000
Ditanya mengenai jumlah bayaran diterima sepanjang menjadi duta syarikat itu, Jalaluddin menafikan dakwaan kononnya menerima bayaran sehingga RM400,000
“Alangkah bertuahnya saya mendapat wang sebanyak itu. Saya tidak mahu cerita, saya menafikan perkara itu.
“Biarlah pihak berkuasa menyiasat. Saya lihat reaksi pihak mereka tenang sahaja. Saya harap semuanya dapat dijernihkan,” dedahnya.
Difahamkan, kontrak Jalaluddin sebagai duta syarikat tersebut adalah selama setahun bermula tahun lalu.
Dalam pada itu, Jalaluddin turut memaklumkan angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor turut menghubunginya bagi bertanyakan perkara sama kerana mereka hanya diberikan tugas untuk mempromosikan peranan syarikat terbabit dalam media sosial.
Terdahulu, nama Jalaluddin disebut sebagai antara selebriti yang bakal dipanggil SPRM bagi membantu siasatan dalam operasi Ops Sky.
Usaha SPRM itu bertujuan menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank.
Sebelum ini, Jalaluddin dipilih sebagai salah seorang duta syarikat pengurusan kewangan bersama angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan penyanyi, Ziana Zain.
Must-Watch Video