Berita
"Sampai Hati Kamu Bunuh Anak Ibu" - Rintihan Pilu Ibu Mangsa Bunuh Kes Tuntutan Fasakh
Rintihan pilu seorang ibu mengundang sebak semasa seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Gajah pada Isnin atas pertuduhan membunuh isterinya yang ditemukan dengan kesan tikaman di sebuah hotel di Melaka dua minggu lalu..
Rozita Radzuan, 56, merupakan ibu kepada mangsa meluahkan kekesalan terhadap tertuduh atas tindakan kejam yang dilakukan ke atas anaknya, Nisya Syahkila Shaharun, 32.
"Sampai hati, sanggup kamu bunuh anak ibu, Nisya tu baik, 32 tahun ibu jaga anak ibu," katanya sambil ditenangkan ahli keluarga.
Kata-kata itu diluahkan semasa tertuduh dibawa keluar dari pekarangan mahkamah.
Tertuduh yang berpakaian baju-T biru dalam keadaan bergari bagaimanapun hanya diam dan menundukkan kepala.
BERITA TRENDING: Gara-Gara Tumpahkan Air, Kanak-Kanak Perempuan 3 Tahun Maut Dipukul Ayah Tiri
BERITA TRENDING: Isteri Bunuh Suami Kerana Sakit Hati Hidup Miskin
BERITA TRENDING: Ibu Bapa Diugut Bunuh, Iman Troye Tidak Buat Laporan Polis - "Saya Rasa Yang Tulis Itu ..."
BERITA TRENDING: Ugutan Bunuh, Naim Daniel Buat Laporan Polis Demi Keselamatan Keluarga & Beri Pengajaran
Dalam prosiding itu, tertuduh, Hairil Anaas Abdullah, 37, mengangkuk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin.Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh yang juga penganggur didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nisya Syahkila di sebuah bilik hotel di Batu Gajah antara 7.30 pagi hingga 2 petang pada 20 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum tidak kurang 12 sebatan sekiranya sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia, bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Dalam kejadian itu, jasad mangsa ditemui polis dengan beberapa kesan tikaman dipercayai senjata pisau di bilik hotel berkenaan.
Perkara itu terbongkar selepas tertuduh hadir menyerah diri ke Balai Polis Batu Gajah sekitar jam 2 petang dan mengaku telah membunuh isterinya.
Polis memaklumkan, suspek dan mangsa hadir ke hotel itu secara berasingan, namun menginap di bilik yang sama sehari sebelum kejadian.
Motif pembunuhan dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan fasakh walaupun telah dipujuk.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan mangsa pernah mengadu dan membuat laporan polis selepas beberapa kali menerima ugutan jenayah termasuk bunuh daripada suaminya itu.
Kali terakhir Allahyarham membuat laporan polis sekitar Mei lepas yang membawa kepada penahanan lelaki terbabit di Klang, Selangor, namun kes tidak dapat diteruskan kerana dikatakan tidak cukup bukti.
Ugutan menerusi panggilan telefon, WhatsApp dan pesanan suara sejak lebih setahun lalu diterima selepas mangsa mengambil keputusan untuk bercerai, namun tidak dipersetujui oleh suaminya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video