HIBURAN
From Saga With Love Diiktiraf Antarabangsa, Lonjak Pelancongan Malaysia Ke Jepun
Drama Viu Original From Saga With Love mencipta kejayaan membanggakan apabila menjadi antara faktor utama kejayaan Suruhanjaya Filem Saga meraih Anugerah Utama di Japan Film Commission (JFC) Awards ke-11 yang berlangsung di Kobe, Jepun.
Anugerah tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap usaha Suruhanjaya Filem Saga dalam memanfaatkan medium filem dan drama sebagai pemangkin pelancongan serantau. Siri From Saga With Love yang menjalani penggambaran di 14 bandar dalam Wilayah Saga, dilaporkan memberi impak besar terhadap industri pelancongan di Jepun, khususnya dari pasaran Malaysia.
Menurut Agensi Pelancongan Jepun, kadar penginapan pelancong Malaysia ke wilayah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 198 peratus berbanding tahun sebelumnya, hasil daripada sambutan hangat terhadap siri yang memaparkan keindahan budaya dan landskap tempatan Saga.
Pengurus Negara Viu Malaysia, Kingsley Warner, menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti kekuatan sesebuah penceritaan yang mampu membina jambatan budaya antara dua negara.
.jpg)
“Pengiktirafan ini membuktikan betapa berpengaruhnya sebuah penceritaan. Kami gembira From Saga With Love telah menyerlahkan keunikan Wilayah Saga sambil mengukuhkan hubungan budaya Malaysia-Jepun. Di Viu, kami akan terus komited dalam mencipta kandungan yang relevan secara lokal tetapi berdaya saing di arena global,” katanya.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
From Saga With Love mula ditayangkan pada tahun 2023 dan terus mencuri perhatian penonton Malaysia. Siri ini turut memenangi kategori Program Komedi Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik (Komedi) menerusi lakonan Siti Khadijah Halim di Asian Academy Creative Awards 2024 peringkat kebangsaan.
Musim kedua yang disiarkan pada 17 Oktober 2024 menampilkan lebih 30 lokasi menarik di Saga, sekaligus meningkatkan lagi minat terhadap destinasi tersebut. Berdasarkan data yang dikumpulkan melalui Hootsuite dan TikTok, siri ini meraih lebih 90 juta tontonan serta lebih setengah juta interaksi di semua platform media sosial.
Bagi pasaran Jepun, versi dengan sarikata Jepun serta peta digital lokasi penggambaran Musim 1 telah mula diedarkan sejak musim luruh tahun lalu. Bahan promosi untuk Musim 2 pula dijangka dilancarkan menjelang musim luruh 2025.
Drama ini mengisahkan perjalanan empat sahabat dari Malaysia, Karma (lakonan Siti Khadijah Halim), Sham (Ikmal Amry), Bianca (Sophia Albarakbah) dan Bob (Fimie Don) dalam mencari makna cinta, persahabatan dan jati diri di Jepun. Musim kedua memperkenalkan watak baharu, Hadri (Hun Haqeem), yang menambah elemen segar dalam perkembangan cerita dan hubungan antara watak.
Dengan kombinasi genre komedi romantik, emosi dan elemen budaya, siri ini terus mencipta resonansi mendalam dalam kalangan penonton Asia Tenggara.
Kedua-dua musim From Saga With Love kini boleh distrim secara eksklusif di Viu.
Must-Watch Video