HIBURAN
Ryan Bakery Mahu Belanja 100 Peminat Breakfast Free Kalau Menang GMWA2024! - "Apapun Saya Serah Pada Rezeki"
Personaliti media sosial, Ryan Bakery, membuat kejutan apabila mengumumkan akan memberikan sarapan percuma kepada 100 pendengar setia Era sekiranya dia berjaya membawa pulang kemenangan sempena Gempak Most Wanted Awards (GMWA) hujung minggu ini.
Ryan, yang dicalonkan dalam kategori Digital Creator (Entertainment) Tergempak, membuat janji tersebut ketika siaran langsung 3 Pagi Era, bersama Radin dan Pak Azad pada Jumaat.
“Kepada Nabil, Radin dan Pak Azad, kalau saya menang saya akan belanja sarapan pagi kepada 100 orang terawal di Restoran Pelita KLCC. Kalau saya kalah, saya akan bersiaran di Era bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya.
Meskipun janji manis Ryan dipandang sinis oleh Radin dan Pak Azad, Ryan menegaskan bahawa dia akan menunaikannya pada hari Isnin hadapan.
Malah, dia sudah bersedia secara mental dan fizikal sekiranya terpaksa ke udara sepanjang hari sekiranya kemenangan tidak berpihak kepadanya.
“Saya gembira bila nama masih lagi berada dalam senarai pencalonan dan membuktikan kehadiran saya masih diterima baik oleh pengikut. Mereka bukan sahaja memberikan sokongan tetapi juga menjadi inspirasi untuk saya terus menghasilkan kandungan yang lebih baik.
"Sebab itu saya mahu belanja 100 orang bersarapan secara percuma sekiranya rezeki memihak kepada saya. Kalau sebaliknya berlaku, saya akan ‘hiburkan’ mereka melalui suara di Era sepanjang hari,” katanya.Selain Ryan, turut tercalon dalam kategori berkenaan adalah Acap S, Kasih Iris Leona, Shah Zakaria dan Steph Beauty.
BERITA BERKAITAN: #GMWA24: Leona, Ryan Bakery, Acap S, Shah Zakaria & Steph Beauty Berebut Gelaran ‘Digital Creator (Hiburan) Tergempak 2024’
BERITA BERKAITAN: Ryan Bakery Menangis Risaukan Anak Kena Jangkitan Kuman Dalam Darah - "Ini Ujian Untuk Kami Sekeluarga"
BERITA BERKAITAN: “Itu Loghat Perak, Saya Kata Minum Aje Ler” - Ryan Bakery Nafi Panggil Anak Gila, Ramai Salah Faham Sebab Sebutan Laju
BERITA BERKAITAN: Ryan Bakery Dah Jadi Bapa, Pilih Nama Ryan Ezra - “Alhamdulillah, Yang Ditunggu Oleh Saya Dan Isteri”
Mengulas mengenai persaingan, Ryan mengakui bahawa semua calon mempunyai pengikut tersendiri dan keunikan masing-masing dalam menghasilkan kandungan yang diminati ramai.“Sama ada menang atau tidak, saya serahkan kepada rezeki. Kita semua berusaha untuk memberikan yang terbaik dan dalam masa yang sama meraikan penganjuran GMWA kali ini.
"Ini masa untuk kita sama-sama meraikan pencipta kandungan. Teruslah menghasilkan kandungan yang berkualiti untuk masyarakat,” tambahnya.
GMWA2024 akan dikendalikan oleh trio pengacara Sherry Alhadad, Sean Lee dan Amelia Henderson. Saksikan acara penuh glamor ini secara langsung pada Ahad ini, 23 Februari 2025 di Auditorium MBSA Shah Alam dan di saluran Astro Ria serta penstriman menerusi Astro Go dan sooka.Must-Watch Video