HIBURAN
Rita Rudaini Bersuara Isu Buli Di MRSM - “Kenapa Tak Buat Tindakan Dari Awal? Pengurusan & Warden Tidur?”
Pelakon Rita Rudaini tampil bersuara mengenai isu buli yang berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Rita menyuarakan pandangan tegasnya terhadap kejadian tersebut dan memuji tindakan segera yang diambil oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
“Yang tak nak belajar, sila keluar. Yang dah bodan mengajar pun boleh juga keluar.
“Terima kasih @drasyrafwajdi tindakan yang cepat. Walaupun benda jadi tahun lepas, pihak maktab tak patut sorok atau ambil ringan,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Rita turut menyentuh mengenai tekanan yang mungkin dihadapi oleh pelajar memgenai peraturan sekolah yang terlalu ketat.
“Kadang-kadang peraturan yang ketat, tegas tak tentu pasal pun boleh buat budak-budak stress dan mula memberontak… mula buat hal… kacau orang… dari seronok-seronok kacau terus ‘upgrade’ jadi buli.
“Ada yang tak kacau orang tapi lepaskan stress dengan cara lain, hisap rokok atau vape. Nak tengok peribadi seseorang, tengok dengan siapa dia berkawan.
“Budak-budak sekarang walaupun lahir di zaman canggih, tapi otak depa tak secanggih budak-budak zaman dulu. Budak dulu nak buat satu benda, memang fikir 100 kali sambil terbayang kena libas, budak sekarang, ‘buat dulu, fikir? Nanti bila free-free lah fikir,” kongsinya.
Rita juga menegaskan pihak pengurusan maktab tersebut wajar dikenakan tindakan.
“Pengurusan maktab yang terlibat pun patut di kenakan tindakan.
“Sebab kenapa kes ni tak dibuat tindakan begini sejak dari awal? Pengurusan tidur? Warden tidur?,” persoal Rita.
Sebelum ini, polis mengesahkan video berdurasi satu minit 31 saat tular di media sosial yang memaparkan seorang pelajar dibuli di asrama, berlaku di sebuah MRSM di Seberang Perai Selatan pada pertengahan tahun lepas.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam, berkata jawatankuasa disiplin MRSM mengesyorkan pelajar terlibat kes buli itu ditamatkan pengajian daripada maktab itu.
Must-Watch Video